300,000 dos vaksin Sinovac tiba esok

Malaysia akan menerima 14 juta dos vaksin Sinovac yang akan melindungi 22 peratus penduduk di Malaysia.
Malaysia akan menerima 14 juta dos vaksin Sinovac yang akan melindungi 22 peratus penduduk di Malaysia.
A
A
A

SHAH ALAM - Selepas lima hari kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech 'mendarat' di bumi Malaysia, bekalan pertama vaksin Covid-19 buatan syarikat biofarmaseutikal, Sinovac pula bakal tiba pada Sabtu.

Perkembangan ini tentunya memberi harapan besar buat rakyat Malaysia khususnya kepada lebih sejuta yang telah mendaftar untuk menerima vaksin Covid-19 menerusi aplikasi My Sejahtera setakat ini.

Penghantaran pertama vaksin Covid-19 Sinovac dijadualkan tiba pada jam 9 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dikendalikan oleh MABkargo Sdn Bhd (MASkargo).

Ketibaan vaksin tersebut akan disambut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar merangkap Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, serta Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Turut dijangka hadir ialah Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Duta Republik China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

Perjalanan vaksin itu dari kilang Sinovac di Beijing, China telah diuruskan oleh Sinovac dan Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd melalui perjanjian di peringkat global.

Ia membabitkan penghantaran sebanyak 200 liter vaksin dalam bentuk cecair secara pukal yang diterbangkan dengan penerbangan Passenger-to-Cargo (P2C) menggunakan pesawat Airbus 300.

Jumlah tersebut mampu diproses menjadi lebih 300,000 dos daripada 14 juta dos yang dijadualkan diterima Malaysia secara berperingkat yang akan melindungi 22 peratus penduduk di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Perolehan vaksin Covid-19 Sinovac ini sekali gus membuktikan hubungan baik antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Republik China dalam usaha menghentikan penularan Covid-19.

Khairy dalam kenyataan sebelum ini memberitahu Sinovac dijangka tiba di Malaysia pada 27 Februari 2021 setelah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewakili kerajaan Malaysia menandatangani dokumen terma dan syarat dengan dua syarikat pembekal vaksin terbabit iaitu Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd (PLS) dan Duopharma (M) Sdn Bhd.

Pada 12 Januari lalu, Pharmaniaga memeterai perjanjian dengan Sinovac untuk mendapatkan bekalan besar vaksin yang akan melalui proses pembotolan di kilang berteknologi tingginya.

ARTIKEL BERKAITAN: Vaksin Sinovac tiba 27 Februari

MASkargo lebih bersedia sambut vaksin Covid-19 Sinovac