Ratusan penyokong di Australia sambut kepulangan Araibi

Hakeem al-Araibi (tengah) ditemani bekas kapten pasukan kebangsaan Australia Craig Foster (kiri) ketika tiba di Lapangan Terbang Melbourne hari ini. - Foto AFP
Hakeem al-Araibi (tengah) ditemani bekas kapten pasukan kebangsaan Australia Craig Foster (kiri) ketika tiba di Lapangan Terbang Melbourne hari ini. - Foto AFP
A
A
A

MELBOURNE - AUSTRALIA . Kepulangan bekas pemain bola sepak Bahrain yang ditahan pihak berkuasa Thailand susulan permohonan ekstradisi negara Arab berkenaan, disambut meriah ratusan penyokong di Australia.

Hakeem al-Araibi tiba di Lapangan Terbang Melbourne dari Bangkok hari ini, beberapa jam selepas dibebaskan pihak berkuasa Thailand susulan keputusan Bahrain menggugurkan perintah ekstradisi ke atas pemain berusia 25 tahun itu yang juga pemegang status pelarian di Australia.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Australia. Amat menakjubkan melihat anda semua serta media yang menyokong saya berada di sini," kata Araibi ketika disambut ratusan penyokong yang menyanyikan lagu 'You’ll Never Walk Alone'.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas pemain bola sepak Bahrain akhirnya dibebaskan

Turut hadir menyambut kepulangan Araibi ialah bekas kapten pasukan kebangsaan Australia Craig Foster, yang juga penggerak utama kempen pembebasan Araibi.

Penahanan Araibi yang dituduh melakukan vandalisme di sebuah balai polis ketika protes anti kerajaan di negara asalnya, mendapat perhatian pelbagai pihak terutama kerajaan Australia, badan kesukanan dan kumpulan hak asasi manusia yang mendesak agar Araibi dihantar pulang ke Australia.

Sementara itu, Perdana Menteri Scott Morrison, yang sebelum ini menulis surat kepada rakan sejawatnya Prayuth Chan-ocha dalam usaha membebaskan Araibi turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Australia dan kerajaan Thailand. - AP

Artikel Berkaitan: