X

Kindly register in order to view this article
!

Petronas catat kerugian RM21.0 bilion bagi tahun kewangan 2020

A
A

KUALA LUMPUR - Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mencatatkan kerugian selepas cukai kumpulan sebanyak RM21.0 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 berikutan kerugian rosot nilai berjumlah RM31.5 bilion -- jumlah terbesarnya setakat ini -- berbanding keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM40.5 bilion pada tahun 2019.

Tidak termasuk rosot nilai, syarikat minyak negara itu merekodkan PAT sebanyak RM10.5 bilion pada tahun itu, berkurangan 78 peratus berbanding RM48.8 bilion pada tahun sebelumnya seiring dengan perolehan direalisasi lebih rendah, yang sebahagiannya diimbangi oleh kos kumpulan yang lebih rendah yang ditanggung.

“Saya ingin menegaskan bahawa rosot nilai bukan aliran tunai. Seperti industri lain, kami juga harus membuat peruntukan ini kerana nilai bawaan aset kami telah terjejas secara mengejut dengan keadaan yang berlaku tahun lepas serta unjuran harga minyak dan gas yang memberi tekanan,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dalam sidang media secara maya pada Jumaat.

Perolehan Petronas merosot kepada RM178.7 bilion berbanding RM240.3 bilion pada tahun kewangan sebelum ini, terutamanya akibat impak kejatuhan harga minyak yang menyaksikan harga purata direalisasi yang lebih rendah untuk semua produk selain gangguan permintaan yang menyebabkan penurunan jumlah jualan daripada gas diproses, produk petroleum dan gas asli cecair.

Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Petronas, Liza Mustapha berkata, rosot nilai tahun kewangan 2020 adalah kira-kira 12 peratus daripada jumlah aset kumpulan iaitu RM574.3 juta, berkurangan daripada RM622.4 juta tahun lepas.

"Berhubung langkah perbandingan, kebanyakan rakan sealiran kami di peringkat antarabangsa mencatatkan rosot nilai antara 12 peratus dan 16 peratus daripada aset mereka,” katanya.

Mengenai cabaran getir yang dihadapi akibat kekurangan permintaan dan penurunan harga minyak, Petronas telah mengambil tindakan segera dengan melaksanakan beberapa langkah penting dan berhemah, termasuk usaha menurunkan kos.

Usaha mengurangkan kos yang dilaksanakan dengan disiplin fiskal tegas yang berterusan telah menghasilkan aliran tunai yang positif daripada aktiviti operasi sebanyak RM40.7 bilion meskipun 55 peratus lebih rendah berbanding RM90.8 bilion bagi tahun kewangan 2019.

Liza berkata, meskipun harga minyak rendah dan pengurangan permintaan akibat impak berterusan Covid-19, bahagian huluan mencatat purata jumlah pengeluaran harian sebanyak 2,209 ribu tong bersamaan minyak (boe) sehari, susut 8.2 peratus berbanding 2,406 ribu boe sehari yang dicatatkan pada tahun 2019.

Pada masa depan, Petronas kekal optimis namun berhati-hati dan berhasrat memperkukuh portfolionya dengan meneroka bidang tenaga baharu dan meneruskan inovasi dengan memberi fokus kepada pelaksanaan.

Kumpulan itu tetap yakin bahawa usaha dan fokus yang berterusan terhadap kecemerlangan komersial dan operasi di samping mengekalkan tahap mudah tunai yang baik, akan memastikan kelestarian perniagaannya.

“Dengan mengambil kira turun naik yang ketara sejak 12 bulan lepas, yang telah meningkatkan (harga minyak) kepada paras yang tidak pernah berlaku sebelum ini, ia menjadi amat sukar.

“Apa yang dapat saya lakukan ialah Petronas akan sentiasa membuat perancangan berhati-hati dan disiplin kewangan berhemat yang telah menjadi kaedah untuk kami berbelanja dan melabur. Oleh itu, kita dapat katakan bahawa kita sentiasa mengusahakan sesuatu (projek) yang berdaya maju pada nilai AS$40 setong,” kata Tengku Muhammad Taufik. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!