X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada 'geng ustaz' atau 'geng publika' dalam Pas

Ahmad Samsuri Mokhtar
A
A

KUALA TERENGGANU - Pas menyangkal dakwaan wujudnya perpecahan dalam parti itu, dalam usaha menyingkirkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dua kumpulan itu merujuk kepada 'geng publika' yang dikatakan kumpulan pro-Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan 'geng ustaz' yang memihak kepada UMNO dan dikatakan cuba menukar presiden parti itu.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tidak wujud dua kem dalam parti itu sebagaimana dakwaan yang tular di media sosial.

Malah katanya, tuduhan itu sama sekali tidak berasas.

"Tiada masalah yang timbul dalam parti termasuk barisan kepimpinan di dalam Pas. Tak betul (dakwaan itu), ia hanya khabar angin yang sengaja diadakan terutamanya pada zaman media sosial sekarang.

"Pada saya, cerita itu tiada asas kerana kami ok sahaja, tiada masalah apa pun, tak ada apa," katanya.

Ditanya tentang dakwaan wujudnya usaha menyingkirkan Abdul Hadi, beliau bagaimanapun menyifatkannya tidak masuk akal.

"Saya rasa dakwaan itu lagi tak masuk akal. Nak menjatuhkan Presiden Pas, tapi saya tak terfikir ada siapa-siapa yang mempunyai atau merasakan diri mereka boleh mencapai tahap Presiden Pas sekarang.

"Jadi, tidak timbul (singkir Abdul Hadi), saya rasa itu diadakan pihak-pihak luar sahaja," katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial yang mengaitkan perpecahan Pas kepada dua kumpulan, iaitu 'geng publika' yang dikatakan pro-Bersatu dan 'geng ustaz' yang pro-UMNO dan dikatakan cuba menukar Abdul Hadi.

Antara nama yang dikaitkan dengan 'geng publika' ialah Ahmad Samsuri sendiri dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

'Geng ustaz' pula antaranya Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!