ADUN Kunak, Tanjong Kapor sangkal dakwaan keluar Warisan

Chong Chen Bin dan Norazlinah
Chong Chen Bin dan Norazlinah
A
A
A

KOTA KINABALU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Norazlinah Arif menyangkal dakwaan bahawa beliau antara yang akan menyusul keluar daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) selepas tindakan ADUN Sebatik meninggalkan parti pada Khamis.

Beliau berkata, dakwaan itu adalah fitnah dan beliau masih setia kepada Warisan di bawah pimpinan Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

"Bagi saya semuanya adalah fitnah, saya antara orang yang awal menyatakan kesetiaan kepada pimpinan Datuk Seri (Mohd Shafie) dan saya akan pastikan menjaga maruah orang Kunak kekal dengan Warisan.

"Saya percaya, justifikasi yang diberikan oleh ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir betul-betul tidak adil. Saya antara wakil rakyat di bawah kepimpinan Presiden dan tidak ada dalam justifikasinya itu betul, kami sering juga dipanggil untuk berbincang dan menjelaskan kepada kami setiap apa gerakan kita (Warisan)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: ADUN Sebatik umum keluar Warisan

Warisan sahkan ADUN keluar parti

Katanya lagi, memang seperti yang Hassan katakan, ada batas apabila bukan sebagai kerajaan namun rakyat sebenarnya memahami keadaan wakil rakyat pembangkang.

"Tetapi, saya secara peribadinya terharu apabila rakyat memahami. Rakyat faham kalau kita wakil rakyat pembangkang, kita bantu sedaya kita, yang semampu kita," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ADUN Tanjong Kapor, Chong Chen Bin menerusi kenyataan di Facebook turut menyatakan pendiriannya kekal bersama Warisan.

"Saya sebagai wakil rakyat Tanjong Kapor dengan ini menyatakan secara jelas dan nyata bahawa pendirian saya bersama Warisan serta pemimpin lain yang masih tetap setia dengan Datuk Seri Shafie Apdal.

"Saya akan tetap menghormati dan menjunjung mandat rakyat dan undi untuk kekal bersama Warisan bersama beliau sebagai Presiden Parti," katanya.

Tambahnya, kenyataan ADUN Sebatik yang keluar daripada Warisan dengan mendakwa hilang kepercayaan kepada Mohd Shafie adalah tindakan beliau sendiri dan kepentingan bersifat peribadi.

"Alasan diberikan oleh wakil rakyat tersebut adalah bersifat angkuh dan sombong dengan mendakwa Warisan telah kehilangan sokongan rakyat adalah tidak benar dan berniat jahat semata-mata.

"Tindakan wakil rakyat tersebut dengan mengisytiharkan mesra Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah topeng sebenar bahawa diri individu tersebut adalah memperalatkan rakyat Sabah untuk mendapat suara politik daripada pengaruh GRS," katanya.

Sebuah blog mendakwa Norazlinah dan Chen Bin antara enam ADUN Warisan dan seorang lagi pemimpin kanan parti yang akan menyusul keluar daripada Warisan selepas ADUN Sebatik.

Empat lagi ADUN yang didakwa itu adalah ADUN Tungku, Assaffal Alian; ADUN Banggi, Mohamad Mohammarin; ADUN Darau, Azhar Matussin; ADUN Bongawan, Dr Daud Yusof dan seorang lagi pemimpin paling kanan Warisan yang juga bekas Menteri Sabah.