Pas tidak boleh bersendirian tegakkan Islam: Abdul Hadi

Abdul Hadi -Foto Facebook Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi -Foto Facebook Abdul Hadi Awang
A
A
A

SHAH ALAM - Pas yang melaksanakan agenda Islam wajib menolak sesiapa sahaja atau mana-mana pihak serta kumpulan yang menjejaskan kekuatan Islam dalam menerajui politik negara.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, fiqh politik Islam telah menetapkan bahawa wajib ditegakkan kepimpinan Islam yang kukuh dengan asas perpaduan.

“Pas tidak boleh bersendirian dengan menganggap kumpulannya sahaja yang mahu menegakkan Islam tanpa disertai oleh kumpulan lain dalam kalangan umat Islam.

“Maka, mereka yang menjadikan konsep perpaduan umat Islam secara tidak sempurna wajib ditolak kerana agenda mereka hanyalah untuk kepentingan diri sendiri atau keluarga, bahkan hanya untuk puak atau kepartian sahaja,” katanya menerusi satu tulisan Minda Presiden Pas di Facebook beliau pada Jumaat.

Pas sebelum ini menjalinkan kerjasama dengan UMNO membentuk Muafakat Nasional (MN) selepas Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pas kemudiannya bersama BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan parti dari Sabah menjalinkan kerjasama membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada Mac tahun lalu.

Sementara itu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, Pas dalam masa sama menolak kumpulan berjenama Islam yang tidak istiqamah sehingga mereka berkecamuk dengan bukan Islam yang nyata bermusuh dan tidak boleh dipercayai.

“Namun begitu, Pas boleh menerima golongan bukan Islam yang tidak ekstrem,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, parti itu juga membatalkan tahaluf dengan pihak lain yang nyata bermusuh terhadap Islam secara langsung atau menentang agenda Islam.

“Begitu juga mereka yang menentang secara tidak langsung dengan menjadi penghalang kepada pelaksanaan Islam,” katanya.