Kes bunuh CEO Cradle Fund: Dua telefon bimbit dalam keadaan baik

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Perbicaraan kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan diberitahu bahawa dua telefon bimbit yang diambil di lokasi kejadian tidak meletup berdasarkan keadaan fizikalnya.

Bekas pegawai persenjataan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Asisten Superintendan (B) Mohd Sa'ad Mat Nasib, 61, berkata, pemerhatiannya terhadap dua telefon bimbit yang diberikan oleh pegawai penyiasat kes itu, Asisten Superintendan Mohd Nizam Daud mendapati keadaan alat telekomunikasi berkenaan tidak menunjukkan ia meletup apabila bateri masih berada di perumah bateri.

Beliau yang juga saksi pendakwaan ke-35, berkata, keadaan fizikal telefon bimbit pertama adalah 90 peratus baik namun hanya terdapat beberapa kesan melecur akibat haba kebakaran manakala telefon bimbit kedua pula teruk terbakar.

"Walaupun keadaan telefon bimbit kedua teruk terbakar, baterinya masih di perumah bateri alat komunikasi itu. Saya tidak rasa ada satu letupan yang kuat kerana jika berlaku, bateri akan terkeluar daripada perumahnya, tetapi dalam kes ini bateri masih di perumahnya.

"Rupa bentuk bateri berkenaan masih lagi ada. Kepingan besi di perumah bateri juga masih berkilat dan dalam keadaan baik," katanya ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya Tengku Intan Suraya Tengku Ismail di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat.

Mohd Sa'ad berkata, sekiranya bateri telefon bimbit yang diperbuat daripada Lithium dan dibalut dengan bahan seakan zink terlebih cas, ia akan mewujudkan gas antara bateri dengan pembalut dan akan menyebabkan ia pecah seterusnya berlaku letupan serta percikan cahaya atau api.

"Bateri telefon bimbit biasanya adalah gabungan beberapa buah bateri, kebiasaannya tiga atau empat bateri. Jika berlaku letupan yang kuat, bateri ini akan terkeluar daripada perumahnya," katanya yang juga bekas pegawai pemusnah bom.

Berdasarkan latihan dan pengetahuannya berkaitan alat letupan, jika bateri telefon bimbit berkenaan meletup ketika dicas dengan kedudukan skrin di atas dan bateri di bawah, alat telekomunikasi berkenaan akan naik tidak lebih daripada dua kaki tinggi hasil letupan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Samirah Muzaffar, 46, bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia yang juga isteri Nazrin serta dua remaja lelaki masing-masing berusia 17 dan 14 tahun didakwa bersama seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari, membunuh mangsa.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Perbicaraan bersambung Isnin ini. - Bernama