'Tak sakit, macam kena gigit semut saja'

Ahmad Samsuri sedang menerima vaksin Covid-19 pada Program Vaksin Covid-19 peringkat Negeri Terengganu di Kuala Terengganu pada Jumaat.
Ahmad Samsuri sedang menerima vaksin Covid-19 pada Program Vaksin Covid-19 peringkat Negeri Terengganu di Kuala Terengganu pada Jumaat.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech pada Jumaat.

Beliau merupakan individu pertama di Terengganu menerima suntikan itu daripada Ketua Jururawat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Sujanah Muhimin sempena Program Vaksin Covid-19 peringkat Negeri Terengganu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada jam 4.05 petang.

Selain Ahmad Samsuri, dua individu lain yang turut menerima suntikan ialah Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak dan Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus.

Ahmad Samsuri ketika ditemui berkata, proses suntikan yang diterimanya sebagaimana suntikan biasa dan tiada rasa sakit atau kesan luar biasa.

Ahmad Samsuri (dua dari kiri) menjadi individu terawal di Terengganu yang menerima vaksin Covid-19 di Kuala Terengganu pada Jumaat.
Ahmad Samsuri (dua dari kiri) menjadi individu terawal di Terengganu yang menerima vaksin Covid-19 di Kuala Terengganu pada Jumaat.

"Tiada rasa sakit, ibarat kena gigit semut sahaja. Selepas 15 ke 30 minit, badan saya tidak rasa apa-apa kesukaran.

"Jadi, saya harap semua rakyat yang menunggu giliran masing-masing agar tidak berasa takut dan mengambil suntikan vaksin sebagai langkah pencegahan," katanya.

Sementara itu, Dr Nor Azimi berkata, Terengganu mendapat sebanyak 16,330 vaksin Pfizer-BioNTech bagi fasa pertama pada Khamis dan dijangka 8,000 kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu akan menerima suntikan awal.

Artikel Berkaitan:

Dos selebihnya akan diberikan kepada barisan hadapan lain seperti anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Petugas barisan hadapan di Terengganu akan menerima suntikan vaksin dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula Selasa depan.