X

Kindly register in order to view this article
!

Kastam serbu premis pembotolan arak tiruan

Kastam merampas beberapa peralatan dalam serbuan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Sungai Choh Rawang, Gombak pada Isnin.
A
A

GOMBAK - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor menumpaskan satu sindiket yang terlibat dalam aktiviti pembotolan minuman keras tiruan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Sungai Choh Rawang di sini pada Isnin.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, pihaknya menemui peralatan pemprosesan dan sejumlah minuman keras pelbagai jenama yang disyaki tiruan dalam serbuan pada jam 4 petang itu.

"Kita turut menemui sejumlah 'tax stamp' dipercayai tiruan yang akan ditampal pada botol-botol minuman keras tersebut sebelum diedarkan ke pasaran tempatan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Abdul Latif berkata, seramai empat lelaki warga asing berusia dalam lingkungan 23 hingga 39 tahun turut ditahan.

"Kita membuat rampasan sebanyak 24,410.30 liter minuman keras tiruan dengan anggaran nilai sebanyak RM227,527.22 serta duti cukai yang berjumlah RM1.91 juta.

"Kes itu disiasat di bawah Seksyen 20(1) Akta Eksais 1976," katanya.

Dalam kes berasingan, Abdul Latif memaklumkan bahawa Kastam Selangor turut menumpaskan satu sindiket penyeludupan minuman keras di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang di sini pada 17 Februari lalu.

"Kita berjaya mematahkan cubaan menyeludup dagangan minuman keras membabitkan satu sebuah kontena bersaiz 40 kaki.

"Hasil pemeriksaan ke atas kontena tersebut kita menemui pelbagai jenis minuman keras yang dipercayai tak berkastam," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas sebanyak 25,344 liter minuman keras dengan anggaran nilai sebanyak RM126,720 serta duti cukai yang berjumlah RM396,000.

"Minuman keras diklasifikasi sebagai dagangan terlarang di bawah Butiran 3, Jadual Ketiga/Bahagian II Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017," katanya.

Menurutnya, ejen perkapalan yang disyaki terlibat sudah dikenal pasti dan sedang dikesan bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!