Covid-19: 2,253 kes baharu, 11 kematian

Dr Noor Hisham - Foto Bernama
Dr Noor Hisham - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 2,253 kes baharu Covid-19 dilaporkan pada Jumaat dengan 11 kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes baharu berkenaan menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 dalam negara kini adalah 295,951 kes.

Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 2,246 kes merupakan penularan dalam negara melibatkan 1,324 warganegara dan 922 bukan warganegara, manakala tujuh kes import melibatkan tiga warganegara dan empat bukan warganegara.

Kes sembuh harian adalah 3,085 menjadikan jumlah kes aktif sebanyak 27,994,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, Selangor kembali mencatat kes baharu tertinggi menjangkau 633 kes, diikuti Perak (545 kes), Johor (276 kes), Sarawak (250 kes) dan Sabah dengan 129 kes.

Dr Noor Hisham berkata, daripada 11 kes kematian dilaporkan pada Jumaat, lapan melibatkan warga tempatan dan tiga bukan warganegara dalam lingkungan umur 36 hingga 78 tahun dengan empat kes direkodkan di Selangor, Kuala Lumpur (tiga), Sarawak (dua) serta masing-masing satu kes di Johor dan Sabah.

Menurutnya, sebanyak 95 kes berkaitan kluster penjara membabitkan Kluster Tembok Tapah dengan 54 kes, Kluster Tembok Pengkalan Chepa (28 kes), Kluster Telok Mas (enam kes), Kluster Penjara Jalan Sungai Jelok (tiga kes), Kluster Tembok Sungai Udang (dua kes) serta masing-masing satu kes melibatkan Kluster Penjara Seberang Perai dan Kluster Tembok Bukit Besi.

Beliau berkata, sebanyak 10 kluster baharu telah dikenal pasti dengan lapan kluster berkaitan tempat kerja dan masing-masing satu kluster melibatkan komuniti di Kampung Telekong, Kelantan dan Kampung Columbia di Perak.

Artikel Berkaitan:

Lapan kluster tempat kerja yang dikenal pasti ialah Tapak Bina Persiaran Freesia, Teknologi Emas, Jalan Jenjarum dan Bukit Putra di Selangor; Simpang Tiga Muar dan Jalan Mega Satu (Johor); Merotai Besar (Sabah) dan Genting Terang di Pulau Pinang.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 91 kluster merekodkan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini; antaranya Kluster Jalan Changkat Jong (474 kes), Kluster Simpang Tiga Muar (55 kes), dan Kluster Tembok Tapah dengan 54 kes.

“Pertambahan kluster baharu pada Jumaat menjadikan jumlah kluster aktif kini 493 kes, manakala jumlah keseluruhan kluster tamat ialah 628 selepas 16 kluster dilapor tamat pada hari ini,” katanya. - Bernama