Syarikat tempatan bangunkan sistem pengesanan kontak rapat

Joshua (berdiri) memberikan taklimat kepada Shahrul Zaman mengenai sistem pengesanan kontak rapat yang dibangunkan Salutica Allied Solutions Sdn Bhd di pejabat syarikat itu di Kawasan Perindustrian Zarib, Lahat, pada Jumaat.
Joshua (berdiri) memberikan taklimat kepada Shahrul Zaman mengenai sistem pengesanan kontak rapat yang dibangunkan Salutica Allied Solutions Sdn Bhd di pejabat syarikat itu di Kawasan Perindustrian Zarib, Lahat, pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Penggunaan sistem pengurusan pengesanan kontak rapat tambahan mampu membantu pemain industri meminimumkan risiko penularan Covid dalam kalangan pekerja.

Exco Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, kerajaan negeri menyambut baik inisiatif yang dilakukan sebuah syarikat tempatan di negeri ini yang berjaya menghasilkan alat pengesanan kontak rapat khas untuk memantau pergerakan individu jika berlaku jangkitan Covid-19.

Katanya, usaha tersebut dilihat sebagai salah satu penyelesaian untuk pemain industri bagi melakukan pengesanan kontak rapat jika berlaku kes positif Covid-19 dalam kalangan pekerja mereka.

"Kita amat mengalu-alukan inisiatif yang dibangunkan oleh syarikat Salutica Allied Solutions Sdn Bhd dalam usaha membantu menguruskan perihal pandemik Covid-19 ini.

"Inisiatif ini dilihat mampu membantu pihak industri dalam melakukan pengesanan kontak rapat dalam kalangan pekerja mereka selain fungsinya tidak bertindih dengan aplikasi MySejahtera," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat mengenai pengurusan pengesanan kontak rapat di Salutica Allied Solution Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Zarib, Lahat, di sini pada Jumaat.

Shahrul Zaman berkata, teknologi pengesanan kontak rapat itu bukan sahaja boleh digunakan untuk sektor perindustrian tetapi sesuai untuk kelompok tertentu seperti di universiti, sekolah mahupun acara-acara melibatkan khalayak yang ramai seperti perlawanan bola sepak.

Katanya, tidak mustahil untuk ia digunakan ketika Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bagi aktiviti kempen, ceramah dan sebagainya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Salutica Allied Solution Sdn Bhd, Joshua Lim berkata, pihaknya merupakan syarikat tempatan pertama yang memperkenalkan sistem pengesanan kontak menggunakan teknologi sendiri.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, inisiatif tersebut tercetus selepas kilang Salutica Allied Solution Sdn Bhd turut berdepan penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja mereka sebelum ini.

"Ini merupakan sebahagian usaha membantu kerajaan dalam menguruskan pengesanan kontak rapat dengan lebih efektif menggunakan teknologi kami.

"Melalui penggunaan sistem ini, pengesanan kontak rapat dapat dilakukan dengan cepat dan tepat. Ini dapat menjimatkan masa serta kos terutama pihak industri," katanya.

Dalam pada itu, Joshua memberi jaminan bahawa segala data yang dikumpul menerusi teknologi tersebut adalah selamat dan hanya digunakan untuk menjejak kontak rapat bagi kes positif Covid-19.

Katanya, keselamatan data rakyat di negara ini lebih selamat dengan menggunakan teknologi yang dibangunkan oleh syarikat tempatan.