Golongan B40 terlibat dadah meningkat di Melaka

Nazir (kiri) ketika menyantuni Ahmad dan isteri di Rim, Jasin pada Jumaat.
Nazir (kiri) ketika menyantuni Ahmad dan isteri di Rim, Jasin pada Jumaat.
A
A
A

JASIN - Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Melaka merekodkan peningkatan jumlah orang kena pengawasan (OKP) dalam kalangan B40.

Pada tahun lalu, seramai 1,113 individu ditangkap berbanding hanya 991 individu pada tahun 2019.

Pengarahnya, Nazir Mohamad berkata, seramai 1,675 OKP masih mendapatkan rawatan dan pemulihan yang merupakan klien AADK Melaka setakat Februari ini iaitu 800 orang daripadanya merupakan golongan B40 termasuk mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Beliau berkata, sebanyak 76 peratus daripada bilangan itu pula adalah mereka yang berusia 18 hingga 45 tahun.

Menurutnya, antara faktor berlaku peningkatan tersebut ialah kebanyakan OKP mengalami tekanan dengan kemiskinan serta kepayahan hidup sehingga mendorong mereka terlibat dengan dadah.

"Kebanyakan OKP atau klien tergolong dalam B40 dan disebabkan itu apabila kita laksanakan satu-satu program, kita perlu lihat bagaimana cara untuk membantu mereka memandangkan ada antara mereka merupakan pencari nafkah utama dalam keluarga.

"Jadi pentingnya kita bersama agensi-agensi lain membantu golongan ini. Sekiranya tidak dibantu, risau ia akan wujud masalah lain bukan hanya penyalahgunaan dadah sahaja," katanya ketika ditemui dalam Program Sentuhan Prihatin sempena Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan 2021 di Rim dekat sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pegawai Daerah Jasin, Datuk Anis Ali Hasan.

Artikel Berkaitan:

Sementara tu, Nazir berkata, kira-kira 80 peratus klien AADK di negeri ini patuh dan memberi komitmen melapor diri dan menjalani sesi kaunseling pada setiap bulan.

"Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), klien-klien ini juga begitu komited dan menggunakan platform seperti 'Google Meet' untuk perbincangan secara dalam talian," katanya.

Dalam pada itu, salah seorang klien AADK yang hanya mahu dikenali Ahmad, 34, berkata, dia terharu dengan segala bentuk bantuan diberikan AADK dalam usaha membantunya keluar daripada gejala ketagihan dadah.

Menurutnya, dia mengakui terjebak dengan najis kerana terpengaruh dengan ajakan rakan dan ditangkap AADK di rumahnya pada Oktober tahun lalu.

"Selepas ditahan selama dua hari dalam lokap, saya melihat sendiri kepayahan isteri saya yang sarat mengandung untuk mencari wang jamin untuk keluarkan saya dari lokap.

"Itu yang membuatkan saya insaf dan mahu berubah demi isteri dan anak-anak," katanya yang sehingga kini masih berada dalam tempoh pengawasan AADK.

Pada program itu, Pejabat Tanah dan Daerah Jasin bersama AADK Melaka menyantuni lima buah rumah klien dan bekas klien AADK bagi menghulurkan bantuan pek makanan kepada mereka yang kurang berkemampuan.