29,042 unit penginapan pekerja diperiksa sejak awal bulan

Awang ketika melakukan pemantauan di sebuah rumah yang dijadikan asrama untuk pekerja kilang di Taman Perak dalam Operasi Penguatkuasaan Pematuhan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) di Kulim hari ini. - Foto Bernama
Awang ketika melakukan pemantauan di sebuah rumah yang dijadikan asrama untuk pekerja kilang di Taman Perak dalam Operasi Penguatkuasaan Pematuhan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) di Kulim hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KULIM - Sebanyak 29,042 unit penginapan pekerja melibatkan 3,652 majikan, diperiksa di seluruh negara sejak awal bulan ini bagi memastikan penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) dipatuhi.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, daripada jumlah itu, 317 kertas siasatan dibuka untuk tindakan lanjut, antara lain kerana kegagalan menyediakan penginapan selesa dan kondusif untuk pekerja bagi mengekang penularan Covid-19.

"Kita memfokuskan kesihatan (pekerja) serta punca apabila berlaku penularan Covid-19 dan penguatkuasaan Akta 446 ini sebagai salah satu usaha kerajaan untuk memerangi Covid-19 di negara ini," katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi bersepadu di dua premis di sini pada Jumaat.

Antara agensi yang turut terlibat dalam operasi hari ini (Jumaat) ialah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Jabatan Kesihatan Negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Jabatan Imigresen Malaysia serta Majlis Perbandaran Kulim (MPKK).

Mengenai operasi itu, Awang berkata, kedua-dua premis itu tidak merekodkan sebarang kemalangan sepanjang tahun lepas dan pihak premis juga melantik koordinator keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) untuk menguruskan isu-isu keselamatan. - Bernama

Artikel Berkaitan: