Zulkifli, Kiandee terima suntikan Covid-19

Dr Zulkifli (kanan) bersama Ronald Kiandee bergambar bersama plakad selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer BioNTech di Pejabat Kesihatan Daerah Putrajaya Presint 11 hari ini. -Foto Bernama
Dr Zulkifli (kanan) bersama Ronald Kiandee bergambar bersama plakad selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer BioNTech di Pejabat Kesihatan Daerah Putrajaya Presint 11 hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pejabat Kesihatan Putrajaya, Presint 11 di sini pada Jumaat.

Dua menteri terbabit tiba di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kira-kira jam 3 petang dan melalui lima stesen yang dikhaskan untuk proses vaksinasi sebelum selesai menerima suntikan vaksin jenis Pfizer-BioNTech.

Zulkifli ketika ditemui pemberita selepas menerima suntikan itu berkata, proses suntikan vaksin dijalankan dengan sangat tertib dan cermat dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Alhamdulillah, suntikan ini tidak sakit. Saya yakin serta percaya kalau semua sokong usaha kerajaan ini, kita akan menang melawan Covid-19.

"Tema 'Lindung Diri, Lindung Semua' (sempena Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan) amat tepat,” katanya.

Ketika ditanya apakah nasihat kepada golongan yang enggan menerima suntikan vaksin, Zulkifli berkata, vaksin itu mampu melindungi diri daripada wabak Covid-19 dan sudah terbukti apabila ramai pemimpin Islam luar negara mengambil vaksin berkenaan.

Dr Zulkifli menerima suntikan vaksin dos pertama Pfizer-BioNTech Covid-19 pada Jumaat di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Presint 11, Putrajaya. -Foto Twitter Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Dr Zulkifli menerima suntikan vaksin dos pertama Pfizer-BioNTech Covid-19 pada Jumaat di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Presint 11, Putrajaya. -Foto Twitter Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

"Kepada sahabat yang berpandangan vaksin ini tidak perlu, mereka perlu lihat isu ini dengan lebih mendalam dan berlapang dada. Jika tidak ambil, natijahnya adalah kepada keluarga dan masyarakat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Kiandee ketika ditemui pemberita turut menyeru seluruh rakyat Malaysia agar mereka menerima suntikan dengan mendaftar diri mereka dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

"Daftarlah di aplikasi MySejahtera dan tunggu giliran masing-masing kerana ia penting untuk bantu negara melawan Covid-19,” katanya.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bertemakan 'Lindung Diri, Lindung Semua' dilaksanakan dalam tiga fasa bermula 24 Februari dengan fasa satu dari Februari hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan seramai 500,000 orang.