Penjawat awam digesa daftar Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan

Adnan
Adnan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyeru semua penjawat awam mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera.

Presidennya, Adnan Mat berkata, ia sebagai tanda sokongan serta kerjasama penuh kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi memastikan kejayaan negara menang dalam perang melawan Covid-19.

Katanya, sebagai jentera hadapan pentadbiran negara, penjawat awam wajar menjadi contoh kepada masyarakat agar mereka yakin dan mendapat maklumat yang tepat mengenai vaksin Covid-19.

“Sekiranya 1.6 juta penjawat awam di negara ini melaksanakan tanggungjawab masing-masing, sudah tentu tiada masalah untuk ia dilaksanakan kepada masyarakat awam.

“Dalam hal pengambilan vaksin ini, penjawat awam yang sihat akan menjadi penggerak kepada jentera kerajaan untuk melaksanakan program pemulihan semula ekonomi negara.

“Tiada alasan untuk penjawat awam menolak atau tidak bersama dalam menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan kerana kita adalah barisan hadapan dalam memastikan kemenangan melawan Covid-19,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Adnan berharap semua penjawat awam, terutama petugas barisan hadapan yang telah mendaftar bagi program vaksinasi kumpulan pertama dapat berkongsi fakta tepat.

“Bagi mereka yang sudah menerima suntikan vaksin, Cuepacs menasihatkan agar berkongsi perkara yang positif agar tidak mencetuskan kebimbangan dalam masyarakat.

Artikel Berkaitan:

“Sekiranya ada masalah atau alahan, mereka perlu merujuk kepada pakar yang berkaitan dan tidak menokok tambah hingga menimbulkan kerisauan awam,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan program pemberian vaksin terbesar dalam sejarah negara ini tidak boleh gagal kerana ia adalah peluang terakhir untuk kembali menikmati kehidupan seperti sebelum penularan Covid-19.

Bagaimanapun katanya, pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) masih lagi rendah hingga menjadikan kes jangkitan harian Covid-19 kekal tinggi.

“Sudah tentu vaksin terbaik ketika ini adalah diri kita sendiri dengan terus mematuhi SOP dan amalan normal baharu dalam kehidupan seharian bagi mengawal wabak Covid-19.

“Jadi langkah terakhir dan terbaik untuk semua rakyat sudah tentunya program vaksinasi ini yang akan membentuk imuniti berkelompok apabila sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa di Malaysia menerima vaksin.

“Ia secara langsung dapat membendung penularan jangkitan Covid-19 apabila masyarakat mula imun terhadap wabak ini. Dalam masa sama, membolehkan sistem kesihatan awam pulih dan dapat beroperasi seperti biasa memberikan khidmat kepada rakyat,” katanya.