Rasuah: Penolong Pegawai Pejabat Tanah direman empat hari

Mahkamah membenarkan permohonan pihak SPRM untuk menahan suspek berusia 45 tahun itu.
Mahkamah membenarkan permohonan pihak SPRM untuk menahan suspek berusia 45 tahun itu.
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat membenarkan permohonan reman terhadap seorang Penolong Pegawai Pejabat Tanah sebuah daerah selama empat hari bermula Jumaat bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima suapan berjumlah keseluruhan RM28,000.

Ia berhubung kelulusan permohonan tanah untuk pembinaan rumah, kerja tanah serta parit bangunan tiga tingkat di Rawang.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Norliza Hussin mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan suspek berusia 45 tahun itu.

Suspek yang memakai baju lokap SPRM tiba di mahkamah pada jam 10 pagi dalam keadaan bergari dan dikawal pegawai SPRM.

Sinar Harian difahamkan, suspek yang bekerja sebagai seorang penjawat awam selama 20 tahun disiasat dalam kes meminta dan menerima suapan daripada dua kontraktor berusia 40 dan 50-an.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek meminta RM20,000 bagi permohonan kerja tanah, jalan dan parit bagi bangunan tiga tingkat meliputi pejabat dan kedai.

"Suspek dipercayai menerima pendahuluan sebanyak RM10,000 daripada seorang kontraktor, manakala bayaran selebihnya selepas permohonan tersebut diluluskan," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.