'Tempat teruk, tidak sesuai dijadikan penginapan pekerja'

Keadaan kawasan luar tempat tinggal pekerja warga asing sebuah kilang di Sungai Gadut. - Sumber foto : Arul Kumar
Keadaan kawasan luar tempat tinggal pekerja warga asing sebuah kilang di Sungai Gadut. - Sumber foto : Arul Kumar
A
A
A

SEREMBAN - "Tempat itu tidak sesuai dijadikan sebagai tempat tinggal manusia," kata Exco Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan, J Arul Kumar berhubung asrama sebuah kilang di Sungai Gadut di sini yang terlibat dengan kes penularan Covid-19.

Arul Kumar berkata, beliau belum berkesempatan melihat keadaan sebenar di asrama berkenaan, namun berdasarkan gambar yang dikongsikan Jabatan Tenaga Kerja(JTK) Negeri Sembilan, ternyata tempat berkenaan sangat teruk.

"Bagi saya ia sesuatu yang sangat teruk. Walaupun pekerja itu dari luar negara tetapi kita tidak mahu mereka dilayan sebegitu.

"Pihak JTK telah buat pemeriksaan terhadap premis penginapan pekerja kilang itu pada 9 Februari lalu sebelum kes positif Covid-19 di situ menular kepada 1,432 kes dalam kalangan pekerja kilang pada dua hari lalu" katanya pada sidang akhbar di Wisma Negeri di sini pada Jumaat.

Berikutan itu, Arul Kumar berkata, syarikat terbabit didapati tidak mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) ditetapkan.

Beliau berkata, sebanyak tiga kertas siasatan di bawah Akta 446 telah dibuka JTK terhadap majikan kilang itu.

Keadaan tempat tinggal pekerja warga asing sebuah kilang di Sungai Gadut, Seremban.
Foto: Sumber Arul Kumar
Keadaan tempat tinggal pekerja warga asing sebuah kilang di Sungai Gadut, Seremban. Foto: Sumber Arul Kumar

Menurutnya, kesalahan pertama di bawah Seksyen 24D kerana menyediakan penginapan pekerja tanpa perakuan penginapan daripada Ketua pengarah JTK, manakala kedua di bawah Seksyen 24H iaitu bangunan penginapan tidak sesuai untuk kediaman manusia mengikut undang-undang bertulis.

Artikel Berkaitan:

Bagi kesalahan ketiga pula, katanya, ialah di bawah peraturan kelayakan menyediakan kemudahan minimum yang dikehendaki.

Pada Rabu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Industri Sungai Gadut menyumbang kenaikan mendadak jumlah kes baharu Covid-19 di Negeri Sembilan iaitu sebanyak 1,432 kes membabitkan 318 warganagera dan 1,114 bukan warganegara.

Menurutnya, Kluster itu membabitkan sebuah kilang pembuatan produk kayu yang terletak di Kawasan Perindustrian Sungai Gadut di sini.

Sementara itu, Arul Kumar berkata, sejak Akta 446 dikuatkuasakan pada 1 September lalu, kertas siasatan telah dibuka terhadap 11 majikan dan kini sedang menunggu untuk didakwa di mahkamah.

Selain itu, katanya, kerajaan Negeri Sembilan telah meluluskan Garis Panduan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja Yang Disediakan Oleh Majikan di Negeri Sembilan untuk diikuti majikan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).