Khutbah perjelas kekeliruan vaksin Covid-19

Jemaah yang hadir menunaikan solat Jumaat di Masjid Zahir, Alor Setar pada Jumaat mematuhi SOP yang ditetapkan. Gambar kecil: Mohd Yusri
Jemaah yang hadir menunaikan solat Jumaat di Masjid Zahir, Alor Setar pada Jumaat mematuhi SOP yang ditetapkan. Gambar kecil: Mohd Yusri
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) mengambil inisiatif memperjelaskan persoalan masyarakat berhubung vaksin Covid-19 menerusi khutbah Jumaat bertajuk ‘Vaksin: Ikhtiar dan Harapan’.

Pengarahnya, Mohd Yusri Md Daud berkata, teks khutbah dibacakan kepada jemaah masjid di seluruh Kedah bagi memberi kefahaman terutama berkaitan hukum mendapatkan vaksin sebagai kaedah pencegahan pandemik itu.

Beliau berkata, antara perkara diberi penekanan dalam khutbah itu ialah kegusaran masyarakat berhubung kandungan vaksin yang didakwa mengandungi bahan haram.

“Usah terburu-buru membuat andaian tanpa bersandarkan ilmiah. Serahkan kepada pakar dan berautoriti untuk menghuraikan. Terdapat pelbagai institusi agama dan fatwa seperti Al-Azhar, Muzakarah Fatwa Kebangsaan dan tokoh fuqaha memberikan pandangan.

"Antaranya ialah Syeikhul Azhar, Profesor Dr Ahmad Tayyib menegaskan fatwa oleh semua institusi fekah moden telah mengemukakan pandangan harus memanfaatkan sebarang bentuk yang terkait dengan sel manusia. Sekiranya penggunaan itu boleh menghilangkan wabak Covid-19 atau menjadi ubat oleh pakar-pakar dalam kajian dan terdapatnya darurat atau keperluan, ketika itu hukumnya harus,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut teks yang disediakan Bahagian Dakwah JHEAIK itu, beliau berkata, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam ke-10 yang bersidang pada 3 Disember lalu mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 harus dan wajib diambil oleh golongan ditetapkan.

“Sehingga kini masih belum ada ubat yang boleh menyembuhkan Covid-19. Vaksin adalah antara cara membendung penyakit ini daripada menular,” katanya.

Mohd Yusri berkata, terdapat segelintir masyarakat masih ragu-ragu dengan program Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan terutama berkaitan status hukum pengambilannya.

Artikel Berkaitan:

“Sesungguhnya Islam menitik beratkan kesihatan dan menolak kemudaratan dengan meletakkan beberapa prinsip asas mendepani penyakit. Apabila seseorang ditimpa penyakit, Islam memberi penekanan kepada kepentingan merawat selain reda dengan takdir ALLAH SWT, tuntutan merawat penyakit tidak boleh diabaikan,” katanya.

Menurut beliau, mencegah penyakit sebelum ia menimpa merupakan antara pendekatan rawatan.

“Inilah konsep pengambilan vaksin sebagai ikhtiar pencegahan bagi mengelakkan diri ditimpa penyakit jika tidak ia boleh menyebabkan kemudaratan lebih besar.

Sehubungan itu, beliau berkata, seluruh umat Islam diminta patuh dan memberi kepercayaan kepada pemerintah dalam usaha menangani wabak itu, selain tidak putus-putus memanjatkan doa ke hadrat ALLAH SWT.