Keuntungan bersih RHB Bank susut 18.1 peratus

Keuntungan bersih RHB Bank Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 susut 18.1 peratus kepada RM2.03 bilion.
Keuntungan bersih RHB Bank Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 susut 18.1 peratus kepada RM2.03 bilion.
A
A
A

KEUNTUNGAN bersih RHB Bank Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 susut 18.1 peratus kepada RM2.03 bilion berbanding RM2.48 bilion yang direkodkan pada tahun kewangan 2019.

Pendapatan merosot kepada RM12.59 bilion daripada RM13.53 bilion sebelumnya.

Bank itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Jumaat berkata, keuntungan bersih yang lebih rendah ini adalah disebabkan oleh kerugian pengubahsuaian bersih yang timbul daripada moratorium pinjaman dan kerugian kredit dijangka yang lebih tinggi (ECL).

"Dana bersih serta pendapatan berasaskan bukan dana yang lebih baik membantu mengimbangi pengurangan keuntungan," katanya.

Pendapatan berasaskan dana bersih meningkat 6.3 peratus dari tahun ke tahun kepada RM5.27 bilion selepas didorong oleh pengurusan kos pembiayaan proaktif, yang berkurangan sebanyak 23.8 peratus dari tahun ke tahun, disokong oleh pertumbuhan 28.3 peratus dalam pertumbuhan akaun simpanan dan semasa (CASA) serta penebusan instrumen modal tertentu sepanjang 2019 dan 2020.

Pendapatan berasaskan bukan dana menokok 11.2 peratus kepada RM2.33 bilion, disumbangkan oleh pendapatan perdagangan serta pelaburan bersih, hasil pembrokeran dan lebihan pengunderaitan insurans yang lebih tinggi.

Perbelanjaan operasi kekal stabil dari tahun ke tahun pada RM3.39 bilion dan nisbah kos kepada pendapatan bertambah baik pada 47.1 peratus berbanding 48 peratus yang dicatatkan setahun sebelumnya.

"Bank kekal berhemat dan terus mengadakan peruntukan kecemasan bagi menangani sebarang kesan buruk yang berpotensi ke atas kualiti aset berikutan pandemik Covid-19."

Artikel Berkaitan:

Hasilnya, ECL meningkat ketara kepada RM1.14 bilion daripada RM275.8 juta manakala nisbah caj kredit tahun penuh bertambah kepada 0.58 peratus berbanding 0.18 peratus yang dicatatkan pada tahun lepas.

Untuk suku keempat tahun kewangan 2020, keuntungan bersih bank itu jatuh kepada RM438.63 juta daripada RM621.01 juta manakala perolehan berkurangan kepada RM3.08 bilion daripada RM3.42 bilion.

RHB Bank ketika mengulas mengenai prospek tahun kewangan semasa menjelaskan kumpulan itu menjangkakan 2021 akan kekal mencabar memandangkan penularan semula kes Covid-19 termasuk pengenalan Perintah Kawalan Pergerakan yang akan menjejaskan pemulihan ekonomi negara.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan RHB Banking Group, Datuk Khairussaleh Ramli, bank itu akan terus menawarkan sokongan kepada pelanggan khususnya kepada segmen B40, melalui program bantuan pembayaran bersasar yang akan berjalan sehingga 30 Jun 2021.

“Kami percaya usaha membantu pelanggan adalah kunci utama dalam memupuk daya tahan, yang mana ini akan membolehkan kami keluar daripada pandemik dengan lebih kukuh," katanya lagi. - Bernama