Pakaian terpakai dilupus secara haram

Longgokan sisa fabrik yang dikesan dibuang di lokasi tidak sepatutnya.
Longgokan sisa fabrik yang dikesan dibuang di lokasi tidak sepatutnya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sisa fabrik dan pakaian terpakai yang sepatutnya boleh dikitar semula atau disedekahkan kepada mereka yang memerlukan telah dibuang di tempat tidak sepatutnya.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Mohd Zahir Shari berkata, ia dilupuskan secara haram dan permasalahan itu telah berlarutan sekian lama.

Menurut Mohd Zahir, pihaknya telah beberapa kali menangkap pelaku kegiatan tersebut termasuk dua kes terbaharu melibatkan dua pengusaha tekstil yang kedainya terletak di Jalan Tunku Abdul Rahman.

"Kes pertama melibatkan penemuan sisa fabrik yang dibuang di kawasan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Batu Caves pada Selasa lalu manakala kes kedua di IKS Spring Crest pada 11 Januari lalu.

"Perlakuan tersebut dikesan berdasarkan tag pada sisa fabrik yang terdapat di lokasi. Kes disiasat di bawah Seksyen 71, Akta 672," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Katanya, jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh didenda antara RM10,000 sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun.

Dalam perkembangan sama, Mohd Zahir berkata, pihaknya akan mengemukakan cadangan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Putrajaya untuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi hotspot.

"Walaupun kebanyakan hotspot telah ditutup, disita dan berjaya dikawal namun kita bimbang kegiatan tersebut berulang.

Artikel Berkaitan:

"Pelaku biasanya akan memilih lokasi lain jika aktiviti mereka disedari oleh pihak SWCorp. Kita akan kemukakan pemasangan CCTV di lokasi yang dikenal pasti sebagai tapak pembuangan sampah haram bagi mengawal aktiviti itu," katanya.