Perak bantu 900 pekerja kilang tayar dapatkan kerja baharu

Shahrul Zaman (kiri) selepas mendengar taklimat mengenai pengurusan pengesanan kontak rapat di Salutica Allied Solution Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Zarib, Lahat, Ipoh pada Jumaat.
Shahrul Zaman (kiri) selepas mendengar taklimat mengenai pengurusan pengesanan kontak rapat di Salutica Allied Solution Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Zarib, Lahat, Ipoh pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak menerusi pelbagai agensi sedang berusaha membantu kira-kira 900 pekerja sebuah kilang membuat tayar di Kamunting, Taiping yang terjejas susulan penutupan kilang berkenaan.

Exco Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, pihaknya telah bertemu dengan pengurusan kilang terbabit pada Khamis bagi mencari penyelesaian terbaik untuk syarikat dan pekerja.

Menurutnya, pihak syarikat terbabit mengambil tanggungjawab dengan mengadakan program pencarian pekerjaan bagi pekerja mereka bermula minggu lalu.

"Kita memahami situasi yang dialami oleh syarikat kerana ia merupakan satu keputusan perniagaan namun majikan sangat bertanggungjawab apabila mereka mengadakan job fair secara dalaman dengan memanggil syarikat-syarikat yang memerlukan pekerja untuk diisi oleh pekerja diberhentikan.

"Sehingga kini seramai 200 individu sudah mendapat kerja baharu manakala 700 lagi sedang dalam proses mendapatkan pekerjaan dengan bantuan agensi kerajaan," katanya selepas mendengar taklimat mengenai pengurusan pengesanan kontak rapat di Salutica Allied Solution Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Zarib, Lahat, di sini pada Jumaat.

Shahrul Zaman berkata, pihaknya juga telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi membantu pekerja-pekerja yang terkesan dengan memberikan latihan semula supaya mereka boleh bekerja di industri lain atau ke kilang-kilang lain.

Sementara itu mengenai situasi pelaburan langsung di Perak, Shahrul Zaman menjelaskan kerajaan negeri sedang berusaha merangka strategi untuk menarik pelabur walaupun sukar dalam suasana pandemik Covid-19.

Menurutnya, dalam tempoh setahun ini kerajaan negeri memberi tumpuan menggalakkan industri sedia ada untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Artikel Berkaitan:

Katanya, antara syarikat yang mengembangkan pelaburan mereka adalah syarikat pembuatan sarung tangan getah memandangkan permintaan mereka begitu banyak.