Covid-19: Polis Labuan pantau pergerakan anti-vaksin

Polis Labuan pantau kegiatan kumpulan anti-vaksin di pulau itu yang menyebarkan propaganda mengenai vaksin Covid-19 melalui pelbagai platform di media sosial.
Polis Labuan pantau kegiatan kumpulan anti-vaksin di pulau itu yang menyebarkan propaganda mengenai vaksin Covid-19 melalui pelbagai platform di media sosial.
A
A
A

LABUAN - Polis Labuan akan memantau kegiatan kumpulan anti-vaksin di pulau itu yang menyebarkan propaganda mengenai vaksin Covid-19 melalui pelbagai platform di media sosial.

Pemangku Ketua Polis Labuan Deputi Superintendan Mohd Ibrahim Mohd Ghani berkata, pemantauan itu termasuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang menggunakan media sosial untuk menyebarkan maklumat yang tidak tepat mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Kami akan memantau penyebaran maklumat yang tidak tepat mengenai program vaksinasi ini dan jika ada laporan polis dibuat, kami akan mengambil tindakan segera terhadap mereka yang terlibat," katanya kepada Bernama di Terminal Feri Labuan selepas ketibaan kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 dari Kota Kinabalu pada Jumaat.

Beliau berkata, walaupun jumlah golongan anti-vaksin tegar adalah kecil, namun pemantauan diperlukan kerana program imunisasi itu sangat penting untuk membentuk imuniti kepada penduduk di pulau itu dan di negara ini secara amnya.

Mohd Ibrahim turut mengingatkan bahawa individu yang ditahan kerana terlibat dalam menyebarkan propaganda anti-vaksin dan maklumat yang mengelirukan boleh didakwa mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Berhubung keselamatan 4,680 dos vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 yang ditempatkan di pusat penyimpanan vaksin Hospital Labuan, Mohd Ibrahim berkata, pusat itu akan diawasi dengan baik oleh anggota polis selama 24 jam setiap hari.

"Adalah menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan program vaksinasi berjalan lancar sepanjang fasa," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: