Kemuka dokumen palsu, pensyarah didenda RM36,0000

Mohd Shafie berlari sebaik keluar dari pintu kamar Mahkamah Sesyen Ayer Keroh pada Jumaat bagi mengelak gambarnya dirakam media.
Mohd Shafie berlari sebaik keluar dari pintu kamar Mahkamah Sesyen Ayer Keroh pada Jumaat bagi mengelak gambarnya dirakam media.
A
A
A

MELAKA - Seorang pensyarah Politeknik Merlimau Melaka (PPM) didenda RM36,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini pada Jumaat selepas bersalah atas tiga pertuduhan mengemukakan dokumen palsu berjumlah RM59,320.70 bagi pembelian keperluan pasukan ragbi pelajar politeknik itu.

Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin menjatuhi hukuman itu kepada tertuduh, Mohd Shafie Osman, 40, yang membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, dia didapati dengan curangnya telah menggunakan dokumen palsu sebagai sebut harga daripada Syarikat Ak Maju Resources masing-masing pada 19 Oktober 2016, 23 Januari 2017 dan 7 Ogos 2017.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Politeknik Merlimau Melaka, KB 1031 Pejabat Pos Merlimau di sini.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah menggunakan dokumen palsu Syarikat Ak Maju Resources dengan mengemukakan sebut harga masing-masing berjumlah 19,750.72 pada 19 Oktober 2016, RM19,810.24 (23 Januari 2017) dan RM19,759.74 (7 Ogos 2017).

Mohd Shafie (tengah) membuat urusan pembayaran denda selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh pada Jumaat.
Mohd Shafie (tengah) membuat urusan pembayaran denda selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh pada Jumaat.

Pemilik syarikat, Noor Azam Khalid menyatakan, beliau diarahkan tertuduh untuk menunjukkan contoh format sebut harga syarikatnya, namun mengesahkan tidak pernah mengeluarkan sebarang sebut harga serta membekalkan item-item yang dinyatakan di dalam dokumen tersebut.

Artikel Berkaitan:

Noor Azam juga mengesahkan bahawa terdapat kemasukan transaksi pembayaran berjumlah keseluruhan RM59,320.70 dan telah membuat pengeluaran menggunakan cek sebelum menyerahkan wang tersebut kepada tertuduh seperti yang diarahkannya.

Tertuduh diwakili Peguam Rosli Kamaruddin merayu agar hukuman ringan diberikan dengan alasan anak guamnya merupakan seorang pensyarah berdedikasi dan banyak memberikan sumbangan kepada pasukan ragbi institusi pengajian tersebut sehingga mampu bertanding ke peringkat antarabangsa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), R Francine Cherly bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM12,000 bagi setiap pertuduhan atau penjara enam bulan jika gagal bayar.

Tertuduh kemudian membayar denda tersebut.