X

Kindly register in order to view this article
!

Anggota polis cedera diserang penyamun

Koperal disamun dua lelaki ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai bertugas di IPK Kuala Lumpur.
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang anggota polis cedera selepas diserang dua lelaki dalam kejadian di Taman Sri Rampai, di sini awal pagi Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa berusia 38 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah menunggang motosikal selepas selesai bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Semasa melalui lokasi terbabit, koperal berkenaan yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) ditahan oleh dua lelaki yang cuba menyamun dan memukulnya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, mangsa cuba melawan dan mempertahankan diri sebelum berlaku pergelutan yang mengakibatkan mangsa cedera dipukul dengan menggunakan topi keledar serta cermin kaca.

"Mangsa telah mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana luka di dahi sedalam dua inci dan mendapat enam jahitan di bahagian dada sebelah kanan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, hasil maklumat dan risikan, polis berjaya menangkap dua suspek kira-kira jam 11 pagi, hari kejadian.

Katanya, kedua-dua suspek berusia 27 dan 31 tahun kini direman tujuh hari sehingga 4 Mac.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun mendatangkan kecederaan," katanya.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!