Guan Eng menang rayuan berhubung ganti rugi kes saman terhadap Perkasa

Lim Guan Eng dan Ibrahim Ali
Lim Guan Eng dan Ibrahim Ali
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Mahkamah Persekutuan mengembalikan semula keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Presidennya, Datuk Ibrahim Ali membayar ganti rugi RM150,000 kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kerana fitnah.

Dalam keputusan majoriti 2-1 yang disampaikan secara dalam talian, panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan membenarkan rayuan Guan Eng untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Mahkamah juga memerintahkan Guan Eng, Setiausaha Agung DAP dan bekas Menteri Kewangan diberikan kos RM50,000.

Hakim Datuk Harmindar Singh Dhaliwal berkata, dapat dilihat bahawa Guan Eng difitnah dalam reputasinya dengan kenyataan tersebut.

"Tidak dapat dipertikaikan bahawa anggota masyarakat biasa akan melihat plaintif (Guan Eng) sebagai pengkhianat negara yang sanggup membocorkan rahsia negara," katanya, sambil menambah bahawa kata-kata fitnah itu secara peribadi disasarkan pada Guan Eng.

Harmindar Singh berkata, Guan Eng memfailkan saman itu sebagai individu dan bukan oleh organisasi seperti kerajaan atau badan kerajaan.

Beliau berkata, kenyataan itu lebih kepada kritikan terhadap Guan Eng daripada pejabatnya atau kerajaan negeri Pulau Pinang kerana dirinya adalah orang yang mempunyai kemampuan untuk membocorkan rahsia.

Guan Eng pada tahun 2012, memfailkan saman fitnah terhadap tujuh responden dengan mendakwa bekas Ketua Penerangan Perkasa, Allahyarham Ruslan Kassim menyiarkan kenyataan di laman web Perkasa pada 1 Oktober 2011, yang membayangkan dirinya membahayakan keselamatan negara dengan mendedahkan rahsia negara kepada Singapura.

Artikel Berkaitan:

Harmindar Singh juga berpendapat tiada perbezaan di antara pegawai awam difitnah kerana tingkah laku dalam kapasiti rasmi dan peribadinya.

Pada 26 Mac, 2015, Mahkamah Tinggi mendapati The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), bekas Pengarang Kumpulannya, Datuk Syed Nazri Syed Harun; Utusan Melayu dan bekas Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Abdul Aziz Ishak; Perkasa, Ibrahim dan Ruslan Kassim bertanggungjawab terhadap fitnah berkenaan.

Mahkamah Tinggi memerintahkan Perkasa membayar ganti rugi sebanyak RM150,000 manakala NSTP dan Utusan masing-masing diperintahkan membayar RM200,000.

Pada 21 Disember 2016, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Perkasa dan penerbit membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada 5 Mac 2019, Guan Eng meneruskan permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan kebenaran rayuan terhadap Perkasa, Ibrahim dan Ruslan, namun menarik balik tindakan undang-undangnya terhadap Ruslan yang meninggal dunia.

Guan Eng juga menarik balik permohonan kebenaran merayu terhadap NSTP dan Utusan Melayu pada 5 Mac 2019 setelah media arus perdana itu bersetuju membayar ganti rugi masing-masing sebanyak RM200,000 yang diputuskan Mahkamah Tinggi kepadanya. - Bernama