'Menteri boleh turun padang sebelum pilihan raya'

Tun Dr. Mahathir Mohamad. - Foto Bernama
Tun Dr. Mahathir Mohamad. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Anggota Kabinet boleh turun padang di mana-mana kawasan selagi kempen pilihan raya belum bermula, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kita belum ada pilihan raya lagi, kalau mereka nak pergi mana, pergi la.

"Tempat lain pun (menteri) pergi juga, kadang-kadang pergi luar negeri sebab kita ada pilihan raya di luar negeri," katanya secara berseloroh pada satu sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu kehadiran beberapa menteri dari kalangan pemimpin Bersatu dalam program melibatkan kementerian masing-masing di DUN Semenyih.

Kehadiran empat anggota kabinet di DUN Semenyih sebelum PRK kawasan itu mendapat teguran Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Thomas Fann berikutan taktik berkempen menggunakan jentera kerajaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Lawatan tiada kaitan PRK: Muhyiddin

Teguran itu dibuat susulan lawatan kerja Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun ke DUN Semenyih sejak Sabtu lepas.

PRK DUN Semenyih akan diadakan pada 2 Mac ini, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 16 Februari.

Ditanya mengenai pertemuannya dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung isu Bersatu melebarkan sayap di negeri itu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu berkata keputusan mengenai perkara itu hanya akan dibincangkan di dalam parti.

Artikel Berkaitan:

"Beliau memberikan pendapatnya, kami tidak tertakluk kepada pendapat orang lain kecuali kepada penilaian kami sama ada kami perlu pergi atau tidak,” katanya.

Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sulaman Datuk Hajiji Noor sebelum ini dilaporkan berkata Bersatu akan melebarkan sayapnya ke Sabah tidak lama lagi

Susulan itu, Mohd Shafie yang juga Presiden Warisan Sabah dilaporkan berkata perkara tersebut diharapkan tidak berlaku memandangkan Warisan dan Bersatu sudah mencapai kesepakatan tentang hal berkenaan. - Bernama