Israel henti hantar vaksin Covid-19 secara percuma

Seorang pekerja perubatan Palestin menerima suntikan vaksin Covid-19 di sebuah hospital di Nablus, Tebing Barat pada awal Februari lalu. - Foto Xinhua
Seorang pekerja perubatan Palestin menerima suntikan vaksin Covid-19 di sebuah hospital di Nablus, Tebing Barat pada awal Februari lalu. - Foto Xinhua
A
A
A

BAITULMUQADDIS - Isreal telah menghentikan rancangannya untuk mengedarkan vaksin Covid-19 secara percuma ke beberapa buah negara termasuk Palestin, kata Kementerian Keadilan rejim Zionis itu pada Khamis.

Tindakan menghentikan pengedaran itu adalah disebabkan pihak berkuasa negara Yahudi itu sedang meneliti sama ada Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mempunyai kuasa untuk mengarahkan pemberian tersebut.

Pemberian itu dilakukan secara percuma ekoran terdapat lebihan bekalan vaksin Covid-19 di negara berkenaan.

Menurut AFP, Netanyahu pada Selasa berkata, Israel akan menghantar satu kuantiti vaksin yang terhad kepada penduduk Palestin dan kepada beberapa negara sekutunya.

Penghantaran secara percuma itu turut melibatkan dua buah negara asing yang telah mengumumkan untuk memindahkan pejabat misi diplomatik masing-masing dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis.

Namun, pada lewat Khamis lalu, Kementerian Keadilan menyatakan penghantaran vaksin tersebut diteliti semula bagi membolehkan Peguam Negara Israel melakukan pemeriksaan sama ada vaksin Covid-19 itu telah diedarkan ke negara-negara asing tanpa kelulusan yang sah.

Dalam satu kenyataan, pihak kementerian berkata, Penasihat Keselamatan Kebangsaan negara itu, Meir Ben-Shabbat telah meminta pandangan daripada Peguam Negara dari sudut undang-undang mengenai pemberian vaksin secara percuma itu.

Pejabat Netanyahu kemudian mengesahkan tindakan yang telah dibuat oleh Penasihat Keselamatan Kebangsaan itu.

Artikel Berkaitan:

Kabinet Keselamatan Israel sebelum ini telah pun meluluskan penghantaran ribuan vaksin Covid-19 ke wilayah Tebing Barat kepada para pekerja perubatan Pihak Berkuasa Palestin.

Republik Czech dilaporkan telah menerima 5,000 dos vaksin Moderna dari Israel manakala Honduras, Hungary dan Guatemala dilaporkan telah berada dalam senarai negara penerima vaksin Covid-19. - Agensi