Vaksin Covid-19 guna teknologi dibangunkan 30 tahun lalu

Dr Khebir Verasahib - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Dr Khebir Verasahib - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech cepat dikeluarkan kerana ia menggunakan teknologi yang telah dibangunkan sejak 30 tahun lalu.

Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Khebir Verasahib berkata, dengan teknologi yang berkembang, penghasilan vaksin berkenaan dilakukan secara sintetik dan automatik.

"Orang anggap vaksin ini baharu tetapi sebenarnya teknologinya sudah dibangunkan 30 tahun lalu dan sebelum Covid-19, vaksin juga telah dikeluarkan contohnya untuk wabak Ebola di Congo.

"Vaksin ini daripada sintetik iaitu tidak menggunakan komponen haiwan dan tumbuhan dan ia merupakan satu (keunikan) teknologinya," katanya selaku panelis pada Wacana Sinar Harian Siri Ke-234 bertajuk 'Vaksin Covid-19: Bersediakah Rakyat Malaysia Tampil Sukarela?' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.

Bergandingan bersama beliau selaku panelis adalah Pakar Perunding Pediatrik Hospital Pakar Damansara, Datuk Dr Musa Mohd Nordin; Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan Pakar Ekonomi, Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram manakala Edlynna Hanie Hamid bertindak sebagai moderator.

Dr Khebir menjelaskan, penghasilan vaksin itu menelan kos berbilion ringgit yang dananya dipam oleh negara maju terutama Amerika Syarikat dan Jerman.

"Tidak ada jalan pintas untuk hasilkan vaksin, cuma pembuatannya cepat kerana teknologi dah ada tapi dari segi ujian klinikal, ia telah melalui semua fasa iaitu satu, dua dan tiga.

"Sekarang kita sedang memantau (keberkesanan) dan saya rasa tidak timbul isu ini kenapa ia cepat dan sebagainya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Dr Khebir, KKM juga telah sedaya upaya memberi penerangan kepada masyarakat tentang kepentingan vaksin berkenaan.

"Pertama, ia penting untuk melindungi diri dan kedua kerana virus ini telah menjadi pandemik.

"Bila kita sekarang dalam pandemik, kita kena buat sesuatu. Takkan kita nak tunggu 10 tahun baharu nak gunakan vaksin selepas negara lain gunakan," katanya.