IPD Serdang kawal tempat simpanan vaksin Covid-19

Razali (dua dari kiri) pada program penyampaian baucar sekolah kepada anak-anak anggota IPD Serdang di Pusat Pakaian Hari Hari di Taman Sri Serdang, Serdang pada Jumaat.
Razali (dua dari kiri) pada program penyampaian baucar sekolah kepada anak-anak anggota IPD Serdang di Pusat Pakaian Hari Hari di Taman Sri Serdang, Serdang pada Jumaat.
A
A
A

SERDANG - Sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menggalas tanggungjawab mengawal dan menjaga lokasi penyimpanan vaksin Covid-19 yang terletak di bawah pentadbiran IPD berkenaan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, sejumlah vaksin Sinovac dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 9 pagi Sabtu.

Menurutnya, sejumlah anggota akan ditempatkan untuk menjaga lokasi penyimpanan vaksin berkenaan.

"Kita akan memberi kawalan semaksimum mungkin. Penugasan ini akan dilakukan selama 24 jam melibatkan tiga syif.

"Selain itu, kita juga akan melakukan rondaan membabitkan kereta peronda polis (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB)," katanya ketika ditemui pemberita selepas program penyampaian baucar sekolah kepada anak-anak anggota IPD Serdang di Pusat Pakaian Hari Hari di Taman Sri Serdang di sini pada Jumaat.

Razali berkata, pihaknya bertanggungjawab mengawal dan menjaga keselamatan tempat penyimpanan vaksin tersebut daripada diceroboh oleh mana-mana atau individu yang tidak mempunyai akses untuk masuk.

Sementara itu, beliau berkata, satu mesyuarat di peringkat Bukit Aman juga telah dijalankan pada Khamis mengenai aturan kawalan keselamatan untuk penempatan vaksin itu di kawasan pentadbiran IPD Serdang.

Katanya, pihaknya juga sudah berbincang syarikat perubatan yang bertanggungjawab mengendalikan penerimaan dan penyimpanan vaksin tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Hari ini (Jumaat) kita bermesyuarat sekali lagi untuk menentukan jumlah anggota yang akan terlibat dalam kawalan keselamatan vaksin berkenaan.

"Saya jangkakan penugasan kawalan ketat ini diteruskan dalam tempoh setahun lebih sehingga lebih 30 juta rakyat Malaysia selesai divaksin," katanya.