X

Kindly register in order to view this article
!

Kini masanya merawat ekonomi

Pakar ekonomi berpendapat Malaysia perlu menjadi lebih kompetitif dalam menarik FDI ke negara ini. (Gambar kecil: Dr Goh Lim Thye, Pankaj Kumar)
A
A

KUALA LUMPUR - Permulaan pemberian vaksin Covid-19 di Malaysia menandakan adanya cahaya di hujung terowong dalam mengatasi pandemik global dan kini seterusnya negara perlu memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi secara pantas berikutan kebinasaan yang berleluasa berpunca daripada virus maut tersebut.

Bagi membolehkan pemulihan ekonomi, pakar-pakar bersetuju bahawa Malaysia perlulah menjadi lebih kompetitif dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini.

Menurut Persidangan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD), FDI Malaysia pada tahun lepas turun sebanyak 68 peratus daripada tahun 2019 dan hanya berjumlah AS$2.5 bilion (RM10.1 bilion).

Sementara itu, negara-negara jiran seperti Vietnam menyaksikan hanya sedikit penurunan iaitu 10 peratus kepada AS$14 bilion (RM56 bilion), FDI Singapura pula menurun sebanyak 37 peratus kepada AS$58 bilion (RM234 bilion) manakala Indonesia menurun sebanyak 24 peratus kepada AS$18 bilion (RM72 bilion).

Pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Dr Goh Lim Thye berkata, terdapat pelbagai faktor yang memberi kesan kepada kemasukan FDI ke rantau ini dan juga ke Malaysia.

“Oleh itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) perlu mengenal pasti punca di sebalik penurunan FDI ke Malaysia sedangkan sebahagian negara jiran menyaksikan kemasukan FDI yang lebih tinggi,” kata Lim Thye.

Apabila ditanya sama ada kadar tinggi dalam jenayah perdagangan seperti produk daging, rokok dan minyak masak turut memainkan peranan dalam menolak pelabur asing, Lim Thye berkata, banyak faktor yang boleh menjadi punca yang tidak menggalakkan kemasukan FDI dan antaranya adalah kadar jenayah perdagangan.

“Walaupun nisbah kadar jenayah bagi setiap 100,000 populasi bagi Malaysia pada tahun 2019 telah meningkat kepada 256.6 dibandingkan dengan 273.8 pada 2018, nisbah kadar jenayah bagi setiap 100,000 di Indonesia hanyalah 113 pada 2018.

Bagaimanapun, kadar jenayah yang lebih tinggi bukanlah satu-satunya penentu kemasukan FDI. Kualiti modal insan, saiz pasaran, keterbukaan perdagangan, infrastruktur, kematangan dan kestabilan politik, keharmonian antara kaum, kualiti keinstitusian seperti peraturan undang-undang, pencegahan rasuah dan keberkesanan kerajaan juga adalah penting,” kata Dr Goh.

Bagi menarik pelabur memilih Malaysia sebagai negara tuan rumah, Dr Goh percaya bahawa garis panduan pelaburan yang jelas dan kualiti keinstitusian yang lebih tinggi boleh membantu kemasukan FDI.

Beliau juga menjangka kemasukan FDI ke ASEAN akan terus menurun, berikutan permintaan yang lemah pada masa ini serta ketidaktentuan yang ketara dalam ekonomi global.

Sementara itu, penganalisis ekonomi dan pelaburan, Pankaj Kumar dalam suatu kenyataan berkata, beliau turut bersetuju bahawa jenayah ekonomi adalah satu daripada punca mengapa pelabur menjauhkan diri daripada Malaysia.

“Contohnya, Malaysia hari ini mencatat insiden rokok haram paling tinggi di dunia. Ini mungkin menyebabkan bakal pelabur menganggap negara ini mempunyai tahap rasuah dan kepincangan undang-undang yang tinggi.

“Tahap perdagangan rokok haram yang tinggi telah menyebabkan syarikat sah seperti Phillip Morris International, British American Tobacco Malaysia Berhad dan Japan Tobacco International menutup kilang-kilang mereka masing-masing pada 2012, 2016 dan 2017.

"Keseluruhannya, hampir seribu orang pekerja telah diberhentikan kerja dan satu eko-sistem yang cergas yang menyokong perniagaan dan perkhidmatan yang bernilai berbilion ringgit telah terhenti," katanya.

Pankaj turut menambah bahawa Malaysia memerlukan pembaharuan dasar awam yang memutuskan birokrasi dan menarik FDI berkualiti.

“Dasar yang berkaitan dengan mengehadkan pemilikan ekuiti asing dalam sektor tertentu dan halangan kepada syarikat-syarikat asing untuk membawa tenaga kerja berkemahiran tinggi mereka sendiri perlu dikaji semula,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!