X

Kindly register in order to view this article
!

Persatuan Farmasi sedia jelaskan vaksin kepada ahli Parlimen, ADUN

A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) bersedia memberikan penjelasan kepada mana-mana Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Dewan Negara berkaitan vaksin Covid-19.

Presidennya, Amrahi Buang berkata, ia bagi mengurangkan keresahan dan perasaan was-was kumpulan berkenaan terhadap vaksin tersebut.

Menurut beliau, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah mengumumkan golongan itu akan menjadi antara penerima vaksin Covid-19 dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Namun selepas pengumuman ini dibuat, rata-rata sambutan daripada ahli Dewan Rakyat sama ada daripada golongan penyokong kerajaan dan golongan pembangkang masih lagi suam.

“Ini adalah sangat mendukacitakan rakyat. Sehingga kini, kenyataan rasmi daripada Ketua Pembangkang berkaitan saranan MPS masih lagi belum kedengaran,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Selain itu, MPS turut mencadangkan agar Ahli Dewan Negara perlu diberikan suntikan vaksin Covid-19 fasa pertama PICK kerana golongan itu mempunyai tugas dan tanggungjawab rasmi mengikut amalan dan sistem berparlimen di negara ini.

Beliau berkata langkah pemberian vaksin itu adalah sangat baik dan positif untuk menjayakan program imunisasi demi kepentingan rakyat dan negara.

MPS juga mencadangkan supaya Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) mewujudkan pendaftaran untuk memaklumkan status vaksinasi Covid-19 setiap Ahli Dewan Rakyat, ADUN dan Ahli Dewan Negara untuk pengetahuan rakyat. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!