X

Kindly register in order to view this article
!

Dua kumpulan aktif ugut, simbah cat merah ditahan polis

Mior Faridalathrash (dua dari kiri) menunjukkan barang rampasan daripada dua kumpulan yang aktif menyimbah cat merah di rumah peminjam ah long pada sidang akhbar di IPK Perak, Ipoh pada Jumaat.
A
A

IPOH - Polis menahan lima lelaki dan seorang wanita yang disyaki mengambil upah membuat ugutan dengan menyimbah cat merah di rumah peminjam ah long dalam dua serbuan berasingan di Ipoh dan Manjung, baru-baru ini.

Kesemua suspek berusia 16 hingga 42 tahun itu ditahan dalam operasi khas, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, tangkapan dibuat susulan dua laporan dibuat mangsa yang berada dalam ketakutan.

“Kedua-dua mangsa menerima notis ugutan yang mengarahkan mereka untuk menghubungi ah long. Mangsa tidak ketahui jumlah pinjaman dan ah long memberi pinjaman kepada ahli keluarga mereka yang kini dipercayai berada di Singapura.

“Risikan selama seminggu berjaya menahan dua lelaki dan seorang wanita di sebuah bilik sewa sekitar Bercham, Ipoh pada 16 Februari dan tiga lelaki di stesen minyak sekitar Manjung, Rabu lalu,” katanya pada sidang akhbar di IPK Perak, di sini pada Jumaat.

Menurutnya, hasil risikan mendapati dua kumpulan suspek itu menjalankan aktiviti sejak Mac dan Disember 2020 sehingga kini.

“Sindiket ini telah melakukan perbuatan khianat dengan menyimbah cat merah ke atas rumah keluarga serta membuat rakaman video bagi tujuan membuat ugutan jenayah kepada keluarga peminjam.

“Polis merampas lima telefon bimbit, cat merah, pakaian, botol cecair berwarna merah dan dokumen notis amaran. Siasatan lanjut mendapati empat suspek didapati positif dadah,” katanya.

Mior Faridalathrash berkata, kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan 427 Kanun Keseksaan.

“Orang awam dinasihatkan supaya tidak membuat pinjaman wang dengan mana-mana individu atau syarikat yang tiada lesen melalui internet.

“Selain itu, orang awam diminta memberi kerjasama dengan polis dalam menyalurkan maklumat kegiatan ah long yang berlaku di kawasan masing-masing,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!