X

Kindly register in order to view this article
!

Kawalan sempadan negara terus diberi fokus pada 2021

Hamzah
A
A

PUTRAJAYA - Kawalan sempadan negara akan terus diberikan fokus utama dan dikawal ketat pada 2021 serta diperkukuhkan dengan mentransformasi pengurusan dan tadbir urusnya, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, ia adalah antara teras utama yang menjadi fokus Kementerian Dalam Negeri (KDN) tahun ini selari dengan perancangan dalam Pelan Strategik KDN 2021-2025 bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman negara sentiasa terpelihara.

Beliau berkata, pengurusan sempadan darat dan laut pada tahun ini akan diperkukuhkan melalui pendekatan lima sempadan hadapan (five-front approach) iaitu sempadan utara Kedah, sempadan utara Kelantan, Selatan, Sabah dan Sarawak.

"Keperluan untuk pembinaan pagar sempadan, penggunaan teknologi terkini seperti CCTV (sistem kamera keselamatan litar tertutup), radar serta dron dan pembinaan pos-pos kawalan adalah berbeza mengikut front yang berkenaan," katanya pada majlis amanat Menteri Dalam Negeri 2021 yang disiarkan melalui laman rasmi KDN pada Jumaat.

Hamzah berkata, KDN pada tahun ini juga akan terus memperkukuhkan dasar dan perundangan dengan melaksanakan kajian dan pindaan ke atas akta-akta di bawah bidang kuasa KDN bagi memperkasakan aspek penguatkuasaan.

Dalam usaha membanteras gejala dadah dan substans, dasar pengalihan penyalahgunaan dadah daripada hukuman penjara ke program rawatan dan pemulihan dadah yang ditetapkan pada tahun lepas, akan dimantapkan pada tahun ini melalui penggubalan rang undang-undang baharu dikenali sebagai Akta Penyalahgunaan Dadah dan Substans bagi menggantikan Akta Penagih Dadah 1983, katanya.

Beliau berkata, pengukuhan pendekatan, rawatan dan pemulihan secara sukarela sedia ada perlu dilaksanakan dan inisiatif untuk penambahbaikan bagi memastikan keberkesanannya dibuat melalui Modul Anjakan Kepulihan: Pendekatan Sukarela yang dibangunkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

"Dengan adanya modul baharu ini, adalah diharapkan lebih ramai penagih dadah akan tampil secara sukarela untuk mendapatkan rawatan pemulihan," katanya.

Hamzah berkata pada tahun ini, KDN akan memperkasakan usaha pendigitalan perkhidmatan yang berteknologi dan berkapasiti tinggi bagi meningkatkan perkhidmatan end-to-end dalam urusan yang ditawarkan kepada rakyat.

Menurutnya, KDN telah dipertanggungjawabkan sebagai kementerian teraju untuk memulakan inisiatif membangunkan Identiti Digital Nasional (IDN) di bawah Digital Economic Blueprint yang merupakan satu daripada inisiatif pendigitalan dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) negara.

Sejak menerajui KDN pada Mac 2020, Hamzah berkata, beberapa inisiatif telah dilaksanakan bagi memelihara keselamatan dan ketenteraman negara terutamanya ketika pandemik Covid-19 berpandukan kepada tiga teras iaitu pemerkasaan keselamatan dan ketenteraman awam; pengukuhan keselamatan sempadan, kawasan maritim dan pintu masuk; serta pemantapan institusi dan sistem perkhidmatan.

Antara pencapaian pada tahun lepas ialah pelaksanaan Pelan Rekalibrasi pendatang tanpa izin yang melibatkan dua program iaitu Rekalibrasi Pulang dan Rekalibrasi Tenaga Kerja, yang antara lain bertujuan merekodkan data pendatang tanpa izin dan mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan mereka, katanya.

Sehingga 31 Disember 2020, sebanyak 6,634 operasi ke atas pendatang tanpa izin dilaksanakan, dengan seramai 22,522 orang pendatang tanpa izin dan 387 majikan ditahan.

Sepanjang tahun lepas katanya, Jabatan Imigresen (JIM) berjaya menumpaskan 11 sindiket berkaitan pendatang tanpa izin dan jenayah rentas sempadan manakala seramai 111 orang dalang dan ahli sindiket daripada pelbagai warganegara ditahan.

"Antara sindiket yang berjaya ditumpaskan ialah sindiket pemalsuan dokumen, penipuan dan salah guna pas, ejen haram, dan pemalsuan cap keselamatan JIM," katanya.

KDN, antara kementerian barisan hadapan dalam menangani pandemik Covid-19 dan penguatkuasaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), telah mengeluarkan 64,651 kompaun hingga 31 Dis 2020, membuat 30,921 tangkapan ke atas pesalah ingkar PKP, serta melaksanakan 23,012 pendakwaan, katanya.

KDN juga katanya, telah menetapkan beberapa dasar penting bagi tujuan kawalan kemasukan warga asing di pintu masuk negara antaranya menamatkan kemudahan pengecualian visa (ENTRi) bagi warga China dan India, serta meneruskan sekatan terhadap kemasukan pelancong dan warga asing dari negara yang berisiko tinggi. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!