Denda ingkar PKP Malaysia antara paling tinggi di dunia: Najib

Najib Razak
Najib Razak
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyelar hukuman pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan pergerakan (PKP) yang bakal dinaikkan mulai 11 Mac ini.

Beliau menyifatkan denda ingkar PKP di Malaysia menjadi antara paling tinggi dalam dunia selepas dinaikkan RM10,000.

“Saya sokong hukuman yang lebih berat bagi mereka yang langgar SOP Covid-19, namun bukan semua SOP PKP sama serius dan tidak patut dipukul rata.

“Misalnya tidak pakai atau salah pakai pelitup muka, gagal mematuhi penjarakan fizikal atau keluar rumah tanpa alasan kukuh berbeza dengan ingkar kuarantin wajib, potong gelang kuarantin, rentas negeri tanpa kebenaran, gagal melapor diri sebagai kontak rapat kes positif atau berpesta ketum beramai-ramai di hotel atau rumah sewa.

“Bagi kesalahan kurang serius melibatkan bilangan rakyat paling ramai yang mungkin berpunca daripada kesilapan tidak sengaja, hukumannya perlu kepada pengajaran dan perlu dinaikkan secara progresif. Bukan untuk memufliskan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Jumaat.

Kata Najib, kaedah hukuman progresif diguna pakai di beberapa negara lain dan diterima rakyat kerana tiada sesiapa akan bersimpati kepada pesalah degil yang berulang-kali melanggar SOP.

“Sebagai contoh bagi kesalahan kurang serius, dendanya boleh dinaikkan secara progresif. Bagi kesalahan pertama denda perlu dikenakan RM1,000; kesalahan kedua (RM3,000); kesalahan ketiga (RM6,000) manakala RM10,000 bagi kesalahan keempat dan seterusnya.

“Tapi jika terus didenda RM10,000 bagi kesalahan pertama, ramai tidak akan berpuas hati,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tegas beliau lagi, SOP sepatutnya konsisten dan tidak boleh sering ‘flip-flop’ sehingga pegawai penguat kuasa dan rakyat pening kepala.

“Selepas denda dinaikkan, kemarahan rakyat tentu turut naik mencanak jika berlakunya lagi dwi-standard antara hukuman pada rakyat biasa dengan ahli politik.

“Ia menjadi lagi parah bagi wakil rakyat sebab sebarang denda yang melebihi RM3,000 akan menyebabkan kehilangan kelayakan sebagai wakil rakyat,” katanya.

Jabatan Peguam Negara pada Khamis telah muat naik Ordinan Darurat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 melalui Warta Kerajaan Persekutuan.

Ia memaklumkan individu yang melanggar SOP bagi pencegahan dan kawalan pandemik Covid-19 boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 bermula 11 Mac.

Antara kesalahan yang boleh dikenakan kompaun ialah tidak memakai pelitup muka, gagal mematuhi penjarakan fizikal, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan, rentas daerah/negeri tanpa kebenaran dan aktiviti pusat hiburan.