Macau Scam: Tahanan reman enam warga China kekal

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penahanan reman enam warga China yang disiasat dalam sindiket perjudian dalam talian kekal selepas Mahkamah Tinggi, di sini pada Jumaat, menolak permohonan mereka untuk dibebaskan serta-merta.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan yang dikemukakan responden iaitu pegawai penyiasat dalam kes itu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia.

Dalam kes ini, enam pemohon berkenaan ialah Jiang Xiang, Wang Jun Cheng, Li Jiang, Luo Hongbin, Lei Meng dan Yu Xiang Yu.

Ketika membaca keputusan penghakimannya, Azhar berkata, perintah penahanan di bawah Seksyen 4 (2) (a) POCA telah menjadi akademik kerana pemohon telah ditahan selama enam bulan di bawah Seksyen 19A (1) akta yang sama.

"Mereka kini ditahan di Pusat Pemulihan Khas di Simpang Renggam, Johor dan Bentong, Pahang.

"Maka, bantahan awal responden dibenarkan dan permohonan untuk habeas corpus ditolak," katanya.

Selain itu, Azhar turut memutuskan, POCA turut terpakai bagi bukan warganegara.

Katanya, ia selepas beliau membuat penelitian secara terperinci menerusi hujahan daripada pihak responden dan pemohon mengenai sama ada undang-undang itu terpakai untuk warga asing.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Azhar berkata, alasan penghakiman penuh mengenai perkara itu dijangka siap minggu hadapan.

Sementara itu, peguam Gobind Singh Deo dan Jacky Loi yang mewakili pemohon berkata, pihaknya akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut.

Pada Disember tahun lalu, pihak pembelaan berhujah bahawa akta yang digunakan terhadap anak guamnya tidak boleh digunakan untuk warga asing tetapi terhad kepada rakyat Malaysia.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili responden iaitu Inspektor Wayandiana Abdullah, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia berkata, Perkara 151(1)(b) tidak boleh dilihat secara berasingan dan perlu dibaca bersama peruntukan lain.

Dalam permohonan yang difailkan secara berasingan, keenam-enam lelaki itu memohon perintah agar penangkapan dan penahanan mereka di bawah akta itu tidak mempunyai asas, tidak mematuhi prosedur dan mala fide (berniat jahat).

Mereka juga memohon perintah supaya penahanan mereka tidak termasuk dalam ruang lingkup akta tersebut dan perbuatan itu tidak terpakai terhadap mereka.