Rakyat Malaysia antara 2 kes baharu penularan tempatan di Singapura

Seorang lelaki warga Malaysia berusia 33 tahun adalah antara dua kes baharu jangkitan tempatan Covid-19 dilaporkan di Singapura pada Khamis. - Foto 123RF
Seorang lelaki warga Malaysia berusia 33 tahun adalah antara dua kes baharu jangkitan tempatan Covid-19 dilaporkan di Singapura pada Khamis. - Foto 123RF
A
A
A

SINGAPURA - Seorang lelaki warga Malaysia berusia 33 tahun adalah antara dua kes baharu jangkitan tempatan Covid-19 yang dilaporkan di Singapura pada Khamis, menurut Kementerian Kesihatan republik itu.

Dilabelkan sebagai kes-60,448, pemegang permit kerja itu merupakan pekerja PSA Corporation Ltd, menurut kementerian itu dalam data penuh yang dikeluarkan di sini lewat malam Khamis.

“Keputusan ujian serologi beliau kembali positif tetapi kami membuat penilaian bahawa ini mungkin jangkitan semasa,” menurut kementerian itu yang menambah lelaki berkenaan adalah asimptomatik.

Kementerian memaklumkan, lelaki itu yang tiba dari Malaysia pada 23 Disember tahun lepas menerima dos pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech pada 22 Januari dan dos kedua pada 14 Februari.

“Ini menjelaskan tentang keputusan ujian serologinya yang positif kerana beliau berkemungkinan mula menghasilkan antibodi selepas vaksinasi,” menurut kementerian itu.

Biasanya, ia mengambil beberapa minggu untuk seorang individu membina imuniti selepas selesai vaksinasi, oleh itu, lelaki berkenaan mungkin dijangkiti sebelum mendapat perlindungan selepas divaksin, menurut kementerian itu.

Sehingga tengah hari Khamis, Singapura melaporkan 10 kes baharu termasuk dua kes import, menjadikan jumlah jangkitan di sini kepada 59,900 kes. - Bernama

Artikel Berkaitan: