Pegawai, anggota Maritim Terengganu sedia disuntik vaksin

Pegawai dan anggota APMM banyak berdepan dengan nelayan asing yang menceroboh perairan negara. (Gambar kecil: Muhammad Suffi)
Pegawai dan anggota APMM banyak berdepan dengan nelayan asing yang menceroboh perairan negara. (Gambar kecil: Muhammad Suffi)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim)Terengganu bersedia menjadi penerima awal suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech di Terengganu.

Pengarahnya, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, senarai nama melibatkan 200 pegawai dan anggota yang akan menjadi penerima suntikan vaksin bagi fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sudah diberikan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, Maritim Terengganu mempunyai 260 penjawatan tetapi keutamaan diberikan kepada barisan hadapan.

"Keutamaan kita berikan kepada pegawai dan anggota menjalani operasi iaitu berada di laut dan mereka yang ada kontak rapat dengan nelayan asing terutama di bahagian keselamatan serta siasatan sebagai penerima suntikan awal.

"Bagi kakitangan bertugas di bahagian lain seperti logistik, pengurusan dan pentadbiran, suntikan terhadap mereka akan dilakukan selepas itu," katanya.

Menurut beliau, Maritim Terengganu masih menunggu maklum balas daripada KKM bagi melaksanakan suntikan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Suffi berkata, setakat ini, tiada kes positif Covid-19 melibatkan pegawai dan anggotanya walaupun sentiasa berdepan dengan nelayan asing.

"Kita sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) ketika melakukan tangkapan serta mengendalikan nelayan asing yang menceroboh perairan negara," katanya.

Artikel Berkaitan: