Waspada ular masuk rumah ketika musim panas: APM

Nik Mohd Nor (dua dari kiri) bersama anggota APM Pasir Puteh menunjukkan ular tedung senduk dan tedung selar yang ditangkap.
Nik Mohd Nor (dua dari kiri) bersama anggota APM Pasir Puteh menunjukkan ular tedung senduk dan tedung selar yang ditangkap.
A
A
A

PASIR PUTEH - Keadaan cuaca panas yang melanda ketika ini menyaksikan peningkatan kes ular memasuki kediaman penduduk.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Pasir Puteh, Kapten (PA) Nik Mohd Nor Nik Mat berkata, sepanjang Januari hingga 26 Februari sebanyak 114 ekor ular telah ditangkap oleh pihaknya.

"Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan berbanding 97 ekor reptilia berbisa itu pada tahun lalu," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, tangkapan haiwan berbisa itu melibatkan jenis ular tedung senduk dan tedung selar.

Beliau berkata, APM Pasir Puteh tidak menolak kemungkinan tangkapan kes ular dijangka meningkat berpandukan kepada keadaan cuaca panas yang diramalkan berlarutan sehingga April.

Nik Mohd Nor berkata, reptilia itu biasanya akan keluar dari habitat asal bagi mencari perlindungan di tempat sejuk dan menyasarkan kediaman penduduk serta reban haiwan ternakan untuk ‘menumpang’.

Katanya, reptilia itu biasanya akan berlindung dan mencari sumber makanan seperti tikus, biawak dan haiwan ternakan di rumah.

"Jika menerima kehadiran 'tetamu' itu jangan terus memukul sesuka hati, sebaliknya hubungi pasukan penyelamat yang mempunyai kepakaran dan kemahiran menangkap ular itu.

Artikel Berkaitan:

"Perlu diingatkan, ular akan bertindak apabila mereka terancam sekiranya ia diganggu manusia dan akan mematuk sehingga boleh menyebabkan kematian,” katanya.

Tambah Nik Mohd Nor, orang ramai diingatkan supaya menjaga kebersihan di rumah masing-masing bagi mengelakkan kehadiran ular.

Beliau berkata, selain bilik air, almari dan rak dapur, ular biasanya akan berehat di atas alang rumah, dalam kasut dan longgokan baju.