Lelaki ditemui mati terbaring setelah seminggu hilang

Anggota polis membawa mayat mangsa untuk dihantar ke Hospital Manjung bagi tujuan bedah siasat.
Anggota polis membawa mayat mangsa untuk dihantar ke Hospital Manjung bagi tujuan bedah siasat.
A
A
A

MANJUNG - Misteri kehilangan seorang lelaki sejak seminggu lalu akhirnya terungkai apabila ditemui mati terbaring di rumahnya di Ayer Tawar di sini, semalam.

Mangsa, Lau Pic Kong yang tidak diketahui umurnya dan berasal dari Ayer Tawar, ditemui tidak bernyawa oleh pihak polis susulan satu laporan polis dibuat keluarga mangsa terhadap kehilangannya sejak 5 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, pada 11 Februari lalu, polis Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Manjung menerima laporan polis berkaitan penemuan mayat di dalam sebuah rumah di Ayer Tawar, dekat sini.

Menurutnya, dalam kejadian itu, saksi seorang lelaki yang juga adik kepada mangsa memberitahu pihak polis kerana mengesyaki abangnya berada di dalam rumah.

"Polis bersama saksi ke rumah tersebut mengetuk pintu beberapa kali, namun tiada jawapan.

"Polis bertindak memecah pintu dan telah menjumpai satu mayat terbaring di atas katil di dalam sebuah bilik," katanya kepada media di sini, hari ini.

Muhammad Hanif berkata, pemeriksaan awal tempat kejadian tidak menunjukkan sebarang unsur jenayah berikutan keadaan bilik tidak menunjukkan sebarang kesan pergelutan atau berselerak.

"Cuma terdapat selonggok ubat-ubatan di sebelah mangsa. Pengecaman mangsa melalui kad pengenalan dan fizikal mangsa oleh saksi mengesahkan mangsa adalah abangnya.

Artikel Berkaitan:

"Saksi menyatakan mangsa memang tinggal bersendirian di rumah tersebut," katanya.

Muhammad Hanif berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan mayat reput disyaki masalah organ dalaman.

"Polis masih meneruskan siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Sementara itu, salah seorang ahli keluarga mangsa memaklumkan kali terakhir mangsa menelefonnya dalam keadaan menangis pada 5 Februari lalu dan menyatakan hanya mayatnya akan pulang ke rumah keluarga kelak.

Menurutnya, sejak itu mangsa gagal dihubungi dan pihak keluarga tidak mengetahui keberadaan mangsa sehinggalah mayatnya ditemui di rumahnya sendiri.