17 militan Iran maut serangan tentera AS di Syria

Gambar fail menunjukkan sebuah kereta kebal milik tentera Amerika Syarikat berada dekat sebuah kemudahan minyak di timur laut Syria. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan sebuah kereta kebal milik tentera Amerika Syarikat berada dekat sebuah kemudahan minyak di timur laut Syria. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Seramai 17 pejuang pro-Iran terbunuh dalam serangan yang dilakukan oleh tentera Amerika Syarikat (AS) di Syria pada Khamis, kata pertubuhan Pemantau Syria Untuk Hak Asasi Manusia.

Mereka terbunuh selepas tentera udara AS menyerang tiga buah trak yang membawa senjata datang dari Iraq dekat bandar Syria, Bukamal.

Pertubuhan pemantau itu berkata, kesemua yang maut itu adalah daripada kumpulan Hashed al-Shaabi iaitu sebuah kumpulan besar memayungi militia kecil yang mempunyai hubungan dengan Iran.

Dalam pada itu, Pentagon mengesahkan tentera AS melancarkan serangan udara di beberapa kemudahan di timur Syria yang digunakan oleh militan yang mendapat sokongan Iran.

Ia dilakukan sebagai tindak balas terhadap beberapa serangan roket ke atas tentera AS di Iraq baru-baru ini.

"Atas arahan Presiden, Joe Biden, tentera AS pada Khamis melancarkan serangan udara terhadap infrastruktur yang digunakan oleh kumpulan militan disokong Iran di timur Syria," kata jurucakap Pentagon, John Kirby dalam satu kenyataan.

"Serangan ini diluluskan sebagai tindak balas terhadap beberapa serangan yang berlaku baru-baru ini terhadap kakitangan AS dan pasukan perikatan (diketuai AS) di Iraq dan ancaman berterusan ke atas kakitangan-kakitangan berkenaan," ujarnya seperti dilaporkan oleh AFP.

Tentera AS tidak menyatakan sama ada terdapat mangsa yang terbunuh atau cedera dalam serangan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurut portal berita Military Times, serangan itu memusnahkan pelbagai kemudahan di sebuah kawalan sempadan yang digunakan oleh sejumlah kumpulan militan yang mendapat sokongan Iran.

Kirby berkata, kawalan sempadan itu digunakan oleh kumpulan-kumpulan bersenjata Iran yang mendapat sokongan tentera Iraq termasuk Kataeb Hezbollah dan Kataeb Sayyid al-Shuhada.

Ia dilakukan tentera AS selepas tiga serangan roket dilancarkan ke atas beberapa kemudahan yang digunakan askar-askar AS dan pasukan tentera perikatan di Iraq bagi menentang kumpulan Daesh.

Satu orang awam dan kontraktor warga asing yang bekerja dengan tentera perikatan terbunuh dalam salah satu serangan itu pada 15 Februari lalu di sebuah kompleks tentera di ibu kota wilayah Kurdis, Arbil.

Dalam kejadian itu juga, beberapa kontraktor AS dan seorang askar cedera.

Serangan-serangan di Iraq oleh beberapa kumpulan bersenjata dipercayai beroperasi di bawah arahan Iraq telah menjadi cabaran dalam pentadbiran Biden ketika beliau membuka pintu untuk menyambung rundingan dengan Teheran berhubung program nuklearnya.

Pentadbiran Presiden AS itu sebelum ini menyatakan ia mahu memulihkan perjanjian Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) yang ditandatangani pada tahun 2015 dan dirangka bagi mengawal perkembangan nuklear Iran.

Bagaimanapu, ia turut menganggap Teheran sebagai ancaman di seluruh Asia Barat. - Agensi