Periksa dulu fakta untuk nampak kebenaran vaksin Covid-19

Dr Musa Mohd Nordin
Dr Musa Mohd Nordin
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat dinasihatkan untuk memeriksa dahulu fakta, agar nampak kebenaran mengenai vaksin Covid-19, sekali gus mengelakkan mereka diracuni fitnah.

Pakar Perunding Pediatrik Hospital Pakar Damansara, Datuk Dr Musa Mohd Nordin berkata, golongan yang mempunyai pengaruh di media sosial termasuk orang agama yang digelar ustaz perlu memeriksa fakta mengenai vaksin Covid-19 terlebih dahulu sebelum berkongsi perkara itu dengan pengikut mereka.

Katanya, perkongsian fakta yang salah menyebabkan timbulnya ketakutan kepada rakyat untuk mengambil vaksin.

"Saya suruh ustaz terutamanya kerana mereka mereka mempunyai ramai pengikut (di media sosial).

"Tolong buat semakan fakta dan kamu akan nampak kebenarannya," katanya selaku panelis pada Wacana Sinar Harian Siri Ke-234 bertajuk 'Vaksin Covid-19: Bersediakah Rakyat Malaysia Tampil Sukarela?' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.

Bergandingan bersama beliau selaku panelis adalah Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan; Pakar Ekonomi, Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram dan Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Khebir Verasahib manakala Edlynna Hanie Hamid bertindak sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Dr Musa membidas segelintir 'orang agama' yang menyebarkan fakta tidak sahih mengenai vaksin Covid-19.

"Sebagai orang agama, kita kena berasaskan kepada hujah, dalil dan bukan kepada fitnah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, banyak maklumat tidak tepat disebarkan segelintir pihak tentang pengambilan vaksin termasuk mendakwa pengambilannya boleh menyebabkan kematian, merubah asid deoksiribonukleik (DNA) manusia dan menyebabkan muka herot.

"Saya sangat kesal sebab ada antara doktor sendiri yang menakut-nakutkan (orang ramai dengan perkongsian fakta yang tidak tepat).

"Jadi, nasihat saya kepada rakyat terutama orang Melayu, cuba kamu rujuk kepada pakar perubatan (berkaitan), Insya-ALLAH kami akan berikan kebenarannya," katanya.