Sektor akuakultur imbang eksploitasi sumber laut

Che Abdullah (dua dari kiri) bersama Nazri (kiri) melihat ikan tilapia merah yang dipelihara Mohd Zain (kanan) di Kampung Pantai Kundor, Kota Bharu pada Khamis.
Che Abdullah (dua dari kiri) bersama Nazri (kiri) melihat ikan tilapia merah yang dipelihara Mohd Zain (kanan) di Kampung Pantai Kundor, Kota Bharu pada Khamis.
A
A
A

KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menggalakkan penglibatan dalam sektor akuakultur secara serius bagi mengimbangi eksploitasi sumber laut dan meningkatkan ekonomi negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, eksploitasi sumber perikanan tangkapan yang berlebihan juga menjadikan sektor akuakultur penting dalam negara.

Menurutnya, sumbangan daripada sektor akuakultur berdasarkan kepada statistik pengeluaran pada tahun 2018 ialah sebanyak 391,465 tan metrik dengan nilaian RM3.06 bilion.

“Pada tahun 2019 pula sebanyak 411,782 tan metrik bernilai RM3.30 bilion yang dikeluarkan dari komoditi air tawar, komoditi ikan marin atau payau dan rumpai laut dengan mencatatkan peningkatan kuantiti serta nilai.

“Daripada jumlah tersebut, Kelantan menyumbang sebanyak 6,449 tan metrik pengeluaran pada tahun 2019 dengan nilai RM57 juta,” katanya di sini pada Khamis.

Beliau ditemui ketika melawat projek penternakan ikan siakap dan tilapia merah yang diusahakan Mohd Zain Md Daud di Kampung Pantai Kundor dengan purata pengeluaran 30 tan metrik setahun.

Che Abdullah bersama Pengarah Perikanan Kelantan, Nazri Ishak turut melepaskan kira-kira 30,000 benih ikan sebagai komitmen kerajaan membantu penternak mengusahakan ternakan ikan tilapia.

Katanya, di Kelantan terdapat kira-kira 21,343 bilangan sistem ternakan seperti kandang ikan, kolam air payau, kolam air tawar, sangkar air payau diwujudkan di 10 daerah di negeri ini yang diusahakan 1,200 penternak aktif.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan akan sentiasa menyokong usaha jabatan dan penternak dalam membangunkan lagi sektor ini di dalam negara dan terus membekalkan sumber protein yang diperlukan rakyat,” katanya.