Persatuan pengguna saran kerajaan tubuh pusat saluran maklumat Covid-19

Dari kiri, Edlynna, Musa dan Nadzim dalam Wacana Sinar Harian Siri ke-234 yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.
Dari kiri, Edlynna, Musa dan Nadzim dalam Wacana Sinar Harian Siri ke-234 yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyarankan kerajaan menubuhkan satu pusat saluran maklumat berhubung Covid-19.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pusat saluran maklumat itu perlu mengeluarkan soalan lazim (FAQ) dan mesra kepada pengguna.

“Sekarang ini defisit kepercayaan rakyat cukup dahsyat. Tidak puas hati itu, tidak puas hati ini. Mungkin dia tak puas hati pasal dia tidak mendapat maklumat.

“Hari ini kita lihat keputusan juga flip flop. Keputusan buka kedai kejap sehingga jam 8 malam, kejap sehingga jam 10 malam. Perkara seperti ini perlu ada saluran yang boleh dijawab, jadi ia akan menjadi senang,” katanya ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-234 bertajuk ‘Vaksin Covid-19: Bersediakah Rakyat Malaysia Tampil Sukarela?' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.

Wacana itu turut menampilkan Pakar Perunding Pediatrik Hospital Pakar Damansara, Datuk Dr Musa Mohd Nordin; Pakar Ekonomi, Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram dan Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Khebir Verasahib sebagai panelis, manakala Edlynna Hanie Hamid bertindak sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Nadzim menjelaskan bahawa banyak pertanyaan daripada orang ramai yang datang kepada PPIM berhubung isu Covid-19.

“Banyak pertanyaan yang datang kepada kita, kita pun tidak boleh nak jawab. Bila duduk di kerusi pengguna ini timbul pelbagai pertanyaan.

“Bila ini timbul, kita sendiri telah bertanya kepada KKM tapi malangnya tiga kali kita tanya iaitu menerusi awam dan dua kali surat secara rasmi tapi tidak dijawab,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau pada masa sama turut melahirkan kehairanannya mengapa mereka sebagai badan bukan kerajaan (NGO) tidak dilayan.

“Dua bulan lepas ada surat balas meminta kita tengok kepada laman sesawang.

“Kita tidak pandai dan perlu dibantu untuk memberi jawapan. Pasal orang tanya soalan macam-macam,” katanya.