Rakyat tidak harus anggap vaksin sebagai ubat selesai masalah

Dr Jomo Kwame Sundaram
Dr Jomo Kwame Sundaram
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat seharusnya tidak menganggap vaksin yang sampai di negara ini sebagai satu ubat yang membuatkan semua masalah dihadapi sebelum ini akan selesai serta merta.

Pakar Ekonomi, Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram berkata, mereka seharusnya ingat, bahawa untuk menyelesaikan masalah terutama sektor ekonomi mungkin mengambil masa lebih dari satu tahun.

“Sebelum apa yang dikatakan imuniti kelompok itu tercapai di mana sebahagian besar rakyat Malaysia akan dapat disuntik dan dilindungi.

“Ini sesuatu yang amat penting kita harus ingat dan antara tumpuan sebahagian kecil ahli ekonomi dunia ketiga," katanya ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-234 bertajuk ‘Vaksin Covid-19: Bersediakah Rakyat Malaysia Tampil Sukarela?' yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.

Wacana itu turut menampilkan Pakar Perunding Pediatrik Hospital Pakar Damansara, Datuk Dr Musa Mohd Nordin; Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Khebir Verasahib sebagai panelis, manakala Edlynna Hanie Hamid bertindak sebagai moderator.

Dalam pada itu, Jomo menyentuh beberapa perkara yang perlu diberi tumpuan oleh kerajaan berhubung Covid-19.

Beliau berkata, antara perkara yang perlu diberi tumpuan oleh kerajaan khususnya KKM adalah berhubung soal negara-negara kaya yang membeli vaksin dalam kuantiti yang banyak.

“Mereka bukan sahaja membeli untuk seorang, tetapi lima kali ganda vaksin itu (dibeli). Kita dapati ketamakan negeri kaya ini juga satu masalah yang besar.

Artikel Berkaitan:

“Ini yang dikatakan vaksin nasionalisme atau vaksin imperialisme yang merupakan satu (masalah) cukup besar. Sepatutnya kita memberi tumpuan soal ini,” katanya.

Beliau turut melihat selepas setahun pandemik Covid-19 melanda, hanya dua atau tiga kementerian sahaja yang menguruskan isu ini.

“Sepatutnya seluruh pemerintah harus dilibatkan. Kalau lihat negara Asia Timur, mereka telah dapat menguasai keadaan dan melawan wabak ini tanpa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Jomo turut berpendapat bahawa orang ramai atau rakyat di negara ini seharusnya dididik mengenai apa yang berlaku dan tidak dibiarkan begitu sahaja.

“Kalau dibiarkan begitu sahaja, apa yang berlaku ialah media sosial berkuasa dan media sosial penuh dengan masalah yang perlu dihadapi KKM.

“Ini masalah besar kerana semua orang akan jadi menjadi doktor sendiri dalam menilai maklumat sedangkan sebahagian maklumat itu mengelirukan,” katanya.