Kerajaan PH jatuh: Mahathir harus muhasabah

Dr Kamarul Zaman Yusoff
Dr Kamarul Zaman Yusoff
A
A
A
ALOR SETAR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad seharusnya bermuhasabah diri dengan mengenang kembali kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diterajuinya setahun lalu.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, ini kerana insiden itu berlaku rentetan daripada pendirian beliau yang sering berubah-ubah sehingga mencetuskan kekeliruan terutama dalam isu pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Perdana Menteri) sebagai pengganti beliau.

Sehubungan itu, tindakan pihak tertentu menempelak Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Dr Marzuki Mohamad kerana didakwa berbohong ekoran pendedahan beliau bahawa Mahathir pernah setuju mencalonkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, perlu melihat semula kepada bukti-bukti dalam pelbagai saluran media.

“Mahathir tidak seharusnya menuduh orang lain menipu tatkala bukti video dan audio serta rekod-rekod lain menunjukkan beliau yang sebenarnya berdolak-dalik.

"Sebelum ini, Dr Mahathir sendiri kecam Muhyiddin sebagai pengkhianat sehingga tidak mahu mengakui beliau sendiri secara terbuka menyatakan setuju menerima Muhyiddin sebagai Perdana Menteri jika beliau mendapat sokongan, pada 27 Februari tahun lalu,” katanya pada Khamis.

Menurutnya, pada pertemuan antara Dr Mahathir dan Muhyiddin pada 27 Februari tahun lalu, Dr Mahathir mengadakan sidang media bagi mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020, di mana ketika sidang media berlangsung beliau ditanya wartawan mengenai hasil pertemuan tersebut.

“Jawapan Dr Mahathir adalah jelas, iaitu, kemungkinan Muhyiddin akan menjadi calon Perdana Menteri sekiranya semua orang memilih beliau,” katanya.

Tegas Kamarul Zaman lagi, itulah kenyataan Marzuki yang dimaklumkan oleh Muhyiddin kepada beliau sebaik sahaja selesai berjumpa dengan Dr Mahathir, di hadapan dua pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), iaitu Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya.

“Perlu diingat, selepas Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada petang 24 Februari 2020, Muhyiddin telah mengumumkan keputusan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu sehari sebelum itu bahawa semua Ahli Parlimen parti itu akan terus menyokong Mahathir sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Menurutnya, bagaimana pun, sesi temubual Yang di-Pertuan Agong secara individu dengan 222 Ahli Parlimen pada 25 dan 26 Februari 2020 menyaksikan Dr Mahathir hanya mampu memperolehi sokongan 62 Ahli Parlimen walaupun pada pagi 25 Februari, beliau memaklumkan kepada Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas bahawa beliau memperolehi sokongan semua Ahli Parlimen.

“Ia berlaku kerana penentangan UMNO dan Pas yang memilih untuk berkecuali, selain penentangan PKR, DAP dan Amanah yang memilih mencalonkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran hasrat Dr Mahathir mahu menubuhkan kerajaan perpaduan yang dimaklumkan kepada pemimpin tertinggi parti-parti politik yang menemui beliau pada 25 Februari 2020,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, ekoran kekalahan Dr Mahathir itu, satu mesyuarat khas antara semua Ahli Parlimen Bersatu dilangsungkan pada 28 Februari yang menyaksikan Dr Mahathir meninggalkan mesyuarat khas itu lebih awal untuk memberi kebebasan kepada mereka memilih dan mencalonkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

“Setelah dipersetujui atau sekurang-kurangnya tidak ditentang, Dr Mahathir secara mengejut mengumumkan keesokan harinya bahawa beliau pada pagi itu telah bermesyuarat dengan pemimpin PH dan menyatakan kesediaan beliau dicalonkan semula sebagai Perdana Menteri dengan sokongan PH,” katanya.

Kamarul Zaman berkata, sedangkan keputusan itu bercanggah dengan pengumuman Marzuki pada 24 Februari, yang mengumumkan Mesyuarat (Khas) Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu pada 23 Februari 2020 bersetuju untuk keluar daripada PH, dan ia adalah keputusan parti dan semua akur dengan keputusan itu.

“Berdasarkan kesemua peristiwa itu, siapa yang berdolak-dalik sebenarnya,” katanya sinis.