Kes pengundi DUN Semenyih saman SPR didengar 19 Februari

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi, di sini, menetapkan 19 Februari ini untuk pendengaran kes saman yang difailkan seorang pengundi berdaftar di kawasan DUN Semenyih terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menghalang suruhanjaya itu daripada mengendalikan PRK DUN Semenyih.

Peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili plaintif, Puan Sri Sabariah Mohd Shariff berkata, kes itu akan didengar di hadapan Hakim S. M. Komathy.

“Kami mengharapkan kes boleh didengar awal sebelum penamaan calon 16 Februari (Sabtu ini) tetapi nampaknya itu saja tarikh terdekat yang boleh diberikan mahkamah.

“Kami telah menyampaikan semua kertas kausa kepada defendan-defendan dalam kes ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Selain SPR, Sabariah, 58, turut menamakan Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun serta Kerajaan Persekutuan sebagai defendan kedua dan ketiga.

Semalam, Mohd Khairul Azam memberitahu pemberita bahawa pihaknya menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada SPR masih satu entiti yang sah apabila hanya terdapat seorang Pengerusi SPR yang menguruskan hal-hal rasmi suruhanjaya itu selepas timbalan pengerusi SPR dan lima lagi anggotanya telah meletak jawatan berkuat kuasa 1 Januari lalu dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata mengikut Fasal 114 (1) Perlembagaan Persekutuan, SPR mestilah terdiri daripada gabungan seorang pengerusi, seorang timbalan pengerusi dan lima anggota SPR yang kesemuanya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-raja.

Dalam tuntutan saman itu, plaintif memohon perintah deklarasi bahawa entiti SPR tidak wujud dan tidak sah dan atau tidak berperlembagaan selepas 1 Januari lepas menurut Fasal 114 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Plaintif juga memohon perintah deklarasi bahawa mesyuarat SPR bertarikh 18 Januari lepas yang dipengerusikan oleh Azhar Azizan seorang diri tanpa keanggotaan timbalan pengerusi dan lima anggota SPR yang lain adalah tidak sah, batal dan melanggar Fasal sama, serta kesemua keputusan yang dibuat dalam mesyuarat itu tidak sah, batal dan tidak boleh dikuatkuasakan oleh Azhar Azizan.

Selain itu, Sabariah memohon injunksi larangan untuk menghalang defendan kedua (Azhar Azizan) daripada bermesyuarat dan atau meneruskan, melaksanakan, menjalankan atau sebarang tindakan atau perbuatan mengendalikan atau menganjurkan dan atau melaksanakan PRK DUN Semenyih sehingga keanggotaan penuh SPR dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Perlembagaan Persekutuan. - Bernama