Rusuhan kuil: MIC biaya kos guaman, rawatan mangsa

M. Saravanan ditemui ketika sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.
M. Saravanan ditemui ketika sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.
A
A
A
KUALA LUMPUR – MIC menawarkan khidmat bantuan guaman dan pembiayaan kos rawatan percuma kepada mangsa dalam insiden kekecohan Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya.

Timbalan Presidennya , Datuk Seri M. Saravanan berkata, buat masa ini MIC menyediakan tujuh peguam yang akan membantu memberikan khidmat guaman percuma.

Katanya memandangkan, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata 'gangster' yang merusuh itu terdiri daripada sekumpulan lelaki yang diupah peguam syarikat pemaju dan pemilik tapak berkenaan maka ini satu kesalahan undang-undang.

“Kesalahan mereka bukan sahaja bawa masuk orang luar tetapi gangster, mangsa diancam dan melibatkan polis. Perlu tuntut ganti rugi bukan sahaja membabitkan mangsa tetapi juga struktur bangunan yang dirobohkan, ini melibatkan kos .

“Bahkan ada juga mangsa yang ditahan, kita kena bagi bantuan guaman kepada mereka malah MIC juga akan bantu kakitangan awam dan buat masa ini barisan peguam sedang jalankan kajian secara mendalam.
Artikel Berkaitan:


“MIC terpanggil untuk membantu memandangkan kebanyakan manga terdiri daripada golongan berpendapatan sederhana, ada yang tidak mampu. Kita juga akan bantu membayarkan kos rawatan mangsa yang terlibat dalam rusuhan tersebut,” katanya ketika sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.

Tambah Saravanan lagi, khidmat bantuan guaman percuma ini ditawarkan kepada pihak kuil, belia, anggota beruniform ia sebagai bentuk sumbangan MIC kepada mangsa dan pihak yang terlibat dalam insiden kecoh tersebut.