FC ambil masa jadi komersial

Laporan Sinar Harian pada Khamis. Gambar kecil: Dr Wirdati
Laporan Sinar Harian pada Khamis. Gambar kecil: Dr Wirdati
A
A
A

CLUB Professionalization Task Force (CPTF) mengakui kebanyakan pasukan Liga Malaysia (Liga-M) ketika ini menghadapi masalah terutamanya dalam mencari penajaan selepas melengkapkan proses penswastaan kelab bola sepak (FC) bersyarikat masing-masing.

Pengerusi CPTF, Dr Wirdati Mohd Radzi berkata, pihaknya sudah menjangkakan perkara itu akan berlaku memandangkan tempoh peralihan tersebut sangat singkat dan banyak pasukan sebelum ini ditubuhkan bukan berlatarbelakangkan mencari keuntungan.

“Pertama, ini adalah jangka masa yang pendek untuk melihat keberkesanan FC. Kita sebagai rakyat dan peminat bola sepak sudah tentu mengharapkan kelab ini sebagai profit driven apabila berdaftar dengan akta syarikat.

“Ada banyak faktor yang akan menyebabkan kelab itu mampu kekal atau tidak. Contohnya untuk sebuah syarikat yang baru ditubuhkan, susah untuk tengok (menilai) tahap mereka terutamanya dari segi kewangan dan ia memakan masa.

“CPTF memang sudah menjangkakan akan timbul masalah sebegini, kami juga akan terus mengenal pasti apa lagi masalah yang dihadapai pasukan. Kalau diikutkan masalah dari segi penajaan atau kewangan ini berlaku kerana kelab itu sebelum ini tidak berstrutktur untuk mencari keuntungan tetapi terpaksa mencari dana untuk menghidupkan pasukan selepas penswastaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

CPTF merupakan jawatan kuasa baharu yang diperkenalkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bulan lalu bertindak menyemak pertukaran atau komposisi pemilik kelab, Ahli Lembaga Pengarah dan pemegang taruh kelab.

CPTF juga menjadi platform buat mana-mana kelab ingin menukarkan status hak milik kelab, ahli lembaga pengarah dan pemegang taruh selain memainkan peranan mengenal pasti dan menggerakkan program serta aktiviti yang bertujuan membangunkan kelab profesional ke tahap lebih tinggi.

Dalam pada itu, Dr Wirdati turut menegaskan, masih terlalu awal untuk menilai sama ada pemisahan daripada persatuan bola sepak (FA) ke FC akan berjaya ataupun tidak memandangkan proses penswastaan kini memasuki fasa ketiga dan keempat.

Artikel Berkaitan:

“Perkembangannya amat positif. Dalam tempoh fasa ketiga dan keempat ini, kita sedang mendidik pasukan untuk mematuhi undang-undang dalam FC. Sudah tentu kita memerlukan lebih ramai individu yang berkelayakan dan berkualiti untuk uruskan kelab.

“Malah, pelesenan kelab ini juga mempunyai enam kriteria seperti kelangsungan perniagaan, kelayakan sumber manusia dan sebagainya yang saya rasa tidak semua pasukan mampu capai dalam masa terdekat.

“Sebab itu, saya katakan tadi bahawa kita perlukan masa dan berusaha bersama untuk mencapai tujuan ini. Tugas kami di task force ini adalah untuk membantu MFL keluar dengan perancangan untuk memperkasakan kelab,” jelasnya.