X

Kindly register in order to view this article
!

Peranan netizen bantu kempen vaksin

A
A

PROGRAM Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula secara rasmi pada Rabu apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin di negara ini.

Turut menerima suntikan terawal ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan empat petugas Kementerian Kesihatan Malaysia.

Muhyiddin ketika berkongsi pengalamannya selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNtech menzahirkan rasa syukur dan menyatakan keyakinan bahawa vaksin tersebut selamat dan berkesan.

“Tidak sakit pun, macam suntikan biasa. Kalau tengok keadaan saya setakat ini, Alhamdulillah,” katanya yang dijadualkan mengambil suntikan vaksin dos kedua pada 17 Mac ini.

Tindakan Muhyiddin menerima suntikan itu sudah tentu dapat meningkatkan keyakinan orang ramai kepada vaksin itu.

Langkah kerajaan mendapatkan bekalan vaksin bagi rakyat adalah satu usaha yang sangat murni dalam situasi sekarang yang semakin membimbangkan.

Vaksin Pfizer-BioNTech adalah vaksin pertama yang memperoleh kelulusan bersyarat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada 8 Januari lepas.

Ketika ini masih ramai rakyat Malaysia yang ragu-ragu dan berpendirian ‘atas pagar’ sama ada mahu menerima atau menolak suntikan vaksin tersebut, malah mempertikaikan isi kandungan vaksin berkenaan dan keberkesanannya.

Walaupun Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) memutuskan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan, masih ramai yang meragui status halalnya.

Jika Perdana Menteri sendiri sudah mengambil suntikan vaksin kenapa kita masih berasa ragu-ragu, tambahan pula vaksin tersebut sudah diberikan kepada lebih 100 juta orang di seluruh dunia.

Sementara itu satu kajian membabitkan 1.2 juta penduduk di Israel membuktikan vaksin Covid-19 Pfizer 94 peratus berkesan terhadap jangkitan virus berkenaan.

Hasil kajian yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine turut menunjukkan kemungkinan vaksin itu memberi manfaat perlindungan yang kuat terhadap jangkitan, elemen penting bagi menghentikan penularan.

Malaysia hanya akan selamat daripada pandemik Covid-19 jika semua rakyat menerima vaksin yang akan diberikan percuma dan dijalankan secara berperingkat.

Apa yang membimbangkan ialah usaha golongan anti vaksin yang terus menentang Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan menyebarkan propaganda tidak betul mengenai program ini.

Kumpulan ini seakan-akan mendapat satu kepuasan apabila mereka berjaya mempengaruhi individu lain terutama melalui media sosial supaya menolak vaksin.

Oleh itu warganet atau netizen di negara ini boleh membantu kerajaan dalam menyebar maklumat mengenai kepentingan suntikan vaksin ini, malah mempengaruhi minda masyarakat untuk memerangi dakyah songsang golongan anti vaksin.

Menurut kajian Laporan Digital 2018, jumlah pengguna internet di negara ini melebihi 26 juta yang mewakili 79 peratus penduduk dan memperuntukkan 3 jam sehari di laman media sosial.

Netizen mampu menerapkan dalam minda rakyat bahawa vaksin adalah selamat kerana manfaatnya jauh lebih besar daripada kesan sampingan yang mungkin akan timbul.

Daripada menggunakan media sosial sebagai tempat mereka melampiaskan perasaan marah atau meninggalkan komentar yang kadang kala mengguris hati individu yang menjadi sasaran kritikan, lebih baik gunakannya untuk membantu agenda negara.

Netizen jangan jadi ‘pakar yang serba tahu’ yang menulis tanpa fakta dan data, sekaligus menyebarkan berita palsu yang akhirnya menimbulkan panik dalam masyarakat.

Saya yakin peranan netizen mampu membuka minda rakyat di negara ini dengan menyebarkan maklumat sahih dan tepat dalam memerangi Covid-19.

* Azmi Tarmizi ialah Pengarang Eksekutif (Cetak) Editorial Sinar Harian


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!