Ayob Khan berjaya buat tanda aras baru!

Ayob Khan Mydin Pitchay
Ayob Khan Mydin Pitchay
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kontinjen Polis Johor meletakkan satu tanda aras baharu dari pelbagai sudut pencegahan jenayah di negeri ini melebihi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan oleh pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysa (PDRM).

"Daripada 7,350 kes yang disiasat pada 2020, 3,960 kes berjaya diselesaikan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor dengan 53.88 peratus penyelesaian melebihi KPI yang ditetapkan oleh pucuk pimpinan iaitu sebanyak 45 peratus," kata Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay kepada Sinar Harian pada Khamis.

Jelas Ayob, Indeks jenayah di Johor juga telah menunjukkan penurunan iaitu sebanyak 25.5 peratus sepanjang tahun lalu.

Menurut beliau, sepanjang tahun lalu, hanya 7,350 kes yang disiasat berbanding 9,870 kes pada tahun sebelumnya.

Jumlah ini, 2,520 kurang dari tahun 2019.

Bercakap secara lebih lebih terperinci, beliau menjelaskan, Polis Johor juga telah memberikan perhatian yang khusus membanteras aktiviti pelacuran.

Katanya, sebanyak 560 serbuan ke atas aktiviti pelacuran telah dilakukan pada tahun 2020 di bawah Ops Dadu.

Secara keseluruhannya, tambah beliau, Polis Johor telah melakukan 4,597 serbuan ke atas pelbagai aktiviti dan kegiatan jenayah pada 2020 berbanding 2,745 serbuan pada 2019.

Artikel Berkaitan:

“Data ini menunjukkan yang kita telah melipatgandakan operasi serbuan jenayah sepanjang tahun lalu di Negeri Johor,” ujarnya.

Beliau berkata, dalam menangani isu pendatang asing tanpa izin (PATI) pula, JSJ negeri merupakan perintis dalam penggunaan undang-undang di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan pertuduhan di bawah jenayah terancang.

"Sejak 22 April lalu hingga 31 Disember 2020, JSJ Johor berjaya menangkap 716 suspek terdiri dari 184 tekong dan 532 migran. Sebanyak 42 buah kenderaan darat dan sembilan buah bot dengan 12 enjin bot turut dirampas

"Daripada jumlah itu, 77 suspek termasuk 19 pegawai agensi penguat kuasa diambil tindakan di bawah jenayah terancang mengguna pakai SOSMA manakala enam suspek diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA)," katanya lagi.

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, kes-kes jenayah harta benda seramai 3,613 suspek telah ditangkap dan sebanyak 53 kumpulan berjaya ditumpaskan hasil pelbagai operasi yang dijalankan secara berterusan.

"Daripada jumlah itu seramai 1,793 suspek telah dituduh di mahkamah manakala 86 suspek diambil tindakan di bawah POCA," katanya.

Ayob Khan
Ayob Khan

Sementara itu, beliau berkata, bagi kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri pula, polis Johor berjaya menangkap seramai 19,013 suspek yang terlibat dalam pelbagai kesalahan dadah.

Jelasnya, rampasan dadah yang dibuat keseluruhannya berjumlah 2,765 kilogram (kilogram) dengan nilai rampasan RM33 juta manakala harta yang disita berjumlah RM14 juta.

"Kontinjen Johor merupakan yang tertinggi membuat pertuduhan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu 738 pada tahun lalu. Bagi tahun lalu juga, JSJN Johor berjaya menyelesaikan 22,000 kertas siasatan terbengkalai bagi tempoh 2011 hingga 2019," katanya.

Selain itu katanya, kes jenayah komersil turut menunjukkan penurunan sebanyak 1,640 kes iaitu keseluruhan berjumlah 32,385 kes sepanjang tahun lalu berbanding 34,025 kes pada tahun sebelumnya.

Ayob Khan menambah, keseluruhannya bagi tahun 2020, hampir 95 peratus daripada visi dan misi Polis Johor sudah tercapai. Beliau menerajui Polis Johor pada 24 Februari 2020.

c/h: Tekan isu rasuah, integriti

Ayob Khan, 55, yang genap setahun memegang jawatan tersebut pada Rabu berkata, pencapaian dan kejayaan itu adalah dokongan serta sokongan padu anggota dan pegawai di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

"Kita IPK Johor masih tidak sempurna. Kita akan memperkemas dan mempertingkatkan perkhidmatan kita kepada masyarakat.

"Mereka merupakan pelanggan kita. Kalau kita dapat memberikan perkhidmatan terbaik maka positiflah maklum balas mereka," katanya.

Sejak menyandang jawatan Ketua Polis Johor, banyak pembaharuan telah dilakukan Ayob Khan termasuk penekanan ke atas isu integriti dan rasuah dalam kalangan anggotanya sendiri.

Disebabkan ketegasan beliau dalam menegakkan undang-undang, Ayob Khan pernah menerima beberapa ugutan termasuk ugutan bunuh.

Ayob Khan berkata, mereka juga akan memperbaiki isu penyeliaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan balai-balai polis lain selain masalah penglibatan anggota serta pegawai polis dalam penyalahgunaan dadah.

"Itu saya anggap serius, mungkin pendekatan lebih menyeluruh (tangani) isu pembabitan anggota dan pegawai polis dalam dadah (selepas ini)," katanya.

Walaupun setakat ini respon yang diterima daripada orang awam adalah positif, beliau berkata, pihaknya akan menerima semua input yang diberikan selain mengamalkan sikap terbuka dengan sebarang teguran serta kritikan.